Semakin Jauh aku berlari, semakin cinta itu menjauh pergi. Lantas tidak lagi aku mengejar, kerana kau hanya bahagia bila kuberhenti~ Nysa Sakinah

Friday, 18 March 2011

Bab 5

LIMA
Habis almari pakaian aku selongkar semata-mata mencari baju yang sesuai untuk dipakai pada malam nanti. Rasanya hampir semua baju yang tadinya tergantung kemas pada penyangkut baju kini bergelimpangan di atas katil. Walaupun hanya kenduri kesyukuran tapi aku tetap mahu kelihatan cantik lebih-lebih lagi di mata Aqil. Akhirnya aku memilih baju kurung johor berwarna putih dan berbunga mawar biru. Aku memilih untuk menggenakan tudung biru muda yang kurasakan amat sesuai dengan baju yang telah kupilih.
Sejak menerima undangan daripada Ibu Aqil, hatiku jadi tidak keruan. Itulah rasa yang sering aku alami bila ianya berkaitan dengan Aqil. Jantungku pasti berdegup selaju mungkin. Itulah aura cinta Aqil yang telah terpalit di jiwaku.
“Amboi Nysa iron baju nak kemana?”  Sara menyapaku dari belakang. Entah bila dia masuk ke dalam bilikku tidak pula aku sedar.
“Kenduri rumah parent Aqil.” Jawabku sambil mengantungkan semula baju yang telah siapku gosok pada penyangkut pakaian.
“Oh, nak pergi rumah bakal mertua rupanya, patutlah bersemangat waja.” Ujar Sara sambil tergelak kecil dan dia mula duduk bersila di atas katilku.
“Pandai-pandai aje!” Aku turut sama tergelak kecil.
You bila nak kahwin? Kalau tak silap I dah dekat dua tahun you bertunangkan?” Sara mula menarik bantal yang telah aku susun kemas.
Sara mula membangkitkan isu yang aku sendiri tidak dapat menjawabnya. Aku sendiri tiada jawapan dan jawapan itulah yang aku tunggu dari Aqil selama ini.
“Entahlah, tapi yang pastinya bila-bila masa pun perkahwinan kitaorang boleh berlangsung.” Hanya itu jawapan yang boleh aku berikan. Moga-moga Sara tidak bertanya lanjut tentang itu. Bukannya aku tidak suka, tapi lebih banyak pertanyaan dan persoalan yang timbul tentang perkahwinanku, lebih besar rasa kecewa yang bersarang di hatiku.
Sehingga ke hari ini, Aqil masih enggan menetapkam tarikh perkahwinan kami. Katanya dia belum bersedia. Tapi padaku, seolah-olah ada batu penghalang yang berada di hadapannya sehinggakan dia tidak mampu untuk berbuat apa-apapun. Namun aku tetap akan menanti hari itu tiba. Aku telah lama menanti dan aku tidak akan jemu untuk terus menanti detik bahagia itu.
I hope so!” Kata Sara penuh dengan rasa simpati padaku.

SENGAJA aku tiba awal di rumah orang tua Aqil, niatku ikhlas moga-moga kehadiranku sedikit sebanyak dapat membantu  apa-apa yang perlu. Segera aku dapatkan ibu Aqil sebaik sahaja melangkah masuk. Wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu kelihatan gembira dengan kehadiranku.
            “Apa yang boleh Nysa tolong?” tanyaku ikhlas, kelihatan beberapa kaum wanita yang sedang sibuk di dapur semuanya hampir sebaya dengan umur ibu Aqil.
            “Kat dapur ni dah cukup dah orang yang membantu. Nysa duduk kat depan ajelah.” Ibu Aqil mengalihkan beberapa dulang yang menganggu jalan.
            “Seganlah Nysa macam ni mak cik.” Bisikku perlahan di telinganya kemudian wanita itu tersenyum lagi.
            “ Nak segan apa pulak. Nysa dah dikira sebahagian daripada keluarga ni tau. Tapi kalau Nysa nak tolong juga, apa kata Nysa naik atas, masuk dalam bilik Aqil, tolong ambilkan surah Yassin dalam kotak atas almari, boleh?” Ibu Aqil memegang tanganku. Kata-katanya membuatkan aku semakin selesa di situ.
            “ Bilik Abang Aqil? Abang Aqil tak ada ke makcik?” Aku kembali bertanya. Baru aku perasan sejak aku sampai Aqil langsung tidak kelihatan.
            “ Aqil balik lewat sikit. Insya’Allah sebelum majlis mula baliklah tu nanti.”
            Aku mengangguk mengerti akan penjelasannya. Sebagai seorang doktor aku tahu tugas Aqil tidak mengira masa, khidmat baktinya sentiasa diperlukan dan aku berbangga dengan itu.
            Sampai sahaja di tingkat atas rumah teres itu aku menolak perlahan pintu bilik Aqil. Aku yakin itu biliknya, bilik paling hujung seperti yang diberitahu oleh ibunya. Bilik itu agak luas, aku yang memerlukan cahaya mula memetik suis lampu. Biliknya begitu kemas sekali, tidak aku sangka. Dapat aku rasakan betapa Aqil menggemari warna ungu. Melihatkan cat dan wallpaper yang bertemakan ungu. Begitu juga halnya dengan cadar katil. Aku tersenyum sendiri. Jarang lelaki mengemari warna ungu, warna lembut itu selalunya disukai oleh wanita sahaja. Lain pula halnya dengan Aqil, namun ianya tetap tidak salah, mungkin itu citarasanya. Tiba-tiba sahaja aku teringatkan peristiwa semasa di kenduri perkahwinan adik angkat Hadif tempoh hari. Kini baru aku mengerti mengapa dia kelihatan marah melihat aku dan Hadif berpakaian ungu sedondon.
            “ Oh, favorite colour rupanya.” Dan kali ini aku tersenyum lagi.
            Aku bergerak menghampiri almari. Kelihatan beberapa buah kotak tersusun di atas almari itu. Aku kemudian menarik kerusi daripada meja komputer. Kerusi itu aku panjat penuh berhati-hati. Kotak yang berwarna hitam aku bawa turun dan kuletakkan di atas katil.
            “Bukan.” Aku menutup kembali kotak hitam tersebut apabila melihat isinya bukan seperti apa yang aku cari. Kini aku kembali memanjat kerusi semula. Kotak berwarna hitam seterusnya aku turunkan.
            “ Ini pun dia.” Aku mengeluarkan kesemua surah Yaasin yang tersimpan di dalam kotak itu. Kukira hampir 20 buah buku kesemuanya. Selesai mengeluarkan keperluan itu, aku menutup semula kotak itu. Namun kemudiannya aku membukanya kembali. Ada sesuatu yang menarik perhatianku. Seakan aku kenal dengan beberapa bungkusan di dalam kotak itu. Untuk kepastian, aku mengambil keluar bungkusan yang aku maksudkan. Aku mengeluh kecil. Ya! Itu semua hadiah pemberianku di hari lahir Aqil. Walaupun pernah Aqil nyatakan sebelum ini, tapi entah kenapa aku tetap berasa sedih melihat hadiah yang tidak langsung dibuka bungkusannya. Ternyata, usahaku untuk menambat dan semakin dekat dihatinya gagal sama sekali. Tidakkah ada rasa ingin tahu dalam dirinya tentang apa yang aku hadiahkan untuknya sepanjang aku bergelar tunangnya? Tahukah dia betapa sukarnya untuk aku memikirkan hadiah yang terbaik semata-mata untuk dirinya?
            Rasa tidak puas hati makin berbekam di jiwa. Kini aku melihat pula kotak kecil berwarna ungu yang turut sama ada di dalam kotak itu. Aku keluarkan kotak itu dan membukanya. Aku yakin, pasti aku akan menemui sesuatu. Sekurang-kurangnya aku inginkan jawapan di atas sikap aneh Aqil selepas bergelar tunangku. Kelakuannya yang menyebabkan aku sering tertanya-tanya apakah yang berlaku sebenarnya? Ada sebuah sampul surat di dalam kotak ungu itu. Hatiku jadi berbelah bagi, haruskah sampul itu aku buka? Melihatkan luarnya, surat itu pastinya kiriman dari luar negara. Perasaan ingin tahu semakin memberontak. Naluriku ingin sekali mengetahui isi kandungannya tetapi hati menghalang. Namun jari jemariku menongkah kata hati dan dengan pantas membuka sampul itu. Tiada sebarang surat dalam sampul itu melainkan sekeping kad kecil berbentuk hati. Yang peliknya tiada sebarang ucapan di atasnya melainkan catatan yang tidak aku fahami.
Your id   : IshNly@yahoo.com
Your password   : myluvlily
I’m waiting for u…

“Jumpa Nysa?” Suara ibu Aqil memeranjatkanku. Aku segera memasukkan kembali kad itu ke dalam sampulnya.
“Jumpa makcik!” Jeritku dari dalam bilik Aqil. Semua barang yang telah aku keluarkan, aku masukkan kembali ke dalam kotak kecuali sampul surat tadi. Aku ingin menyimpannya kerana dapat aku rasakan ada perkara yang perlu aku ketahui. Terasa seperti aku semakin hampir dengan jawapan yang aku perlukan selama ini.

TETAMU mula beransur pulang, aku pula membasuh pingan, membantu apa yang perlu di dapur. Ibu Aqil sedang rancak berbual bersama beberapa lagi saudara mara yang lain. Kenduri doa selamat yang diadakan sebagai tanda kesyukuran ayah Aqil kembali sihat seperti sedia kala berjalan dengan lancar. Namun aliran darahku rasanya tidak selancar majlis itu, lebih-lebih lagi selepas keluar dari bilik Aqil.
            Ibu dan ayahku sudah berangkat pulang selesai sahaja majlis kesyukuran itu. Aku cuma sempat mengahantar orang tuaku di muka pintu kerana membantu mengemas. Namun sempat juga mereka menasihatkan agar aku tidak pulang terlalu lewat. Aku tahu mereka amat risaukan tentang diriku.
            Hampir pukul 11.30 malam, barulah aku dan yang lain selesai mengemas. Pinggan mangkuk yang siap dicuci, aku susun kemas di atas surat khabar yang dibentangkan di permukaan lantai. Begitu juga dengan periuk-periuk yang tadinya sarat dengan lauk-pauk.
            “Makcik Nysa balik dulu ya.” Aku melurutkan kembali lengan bajuku yang tadinya aku singsing bagi mengelakkkan basah. Sempat juga mataku melirik pada Aqil yang sedang asyik menggulung tikar. Dari awal ketibaanku, baru kini aku dapat melihat lelaki itu. Aqil sedikit pun tidak menoleh ke arahku, malah dia meneruskan kerjanya seolah-olah tiada sesiapa di ruang tamu itu.
            “Dah lewat sangat ni, Nysa tak takut nak drive ke?” kata-kata ibu Aqil itu sedikit sebanyak melemahkan semangatku.
            “Tak apa makcik, bila lagi nak merasa drive waktu malam.” Aku cuba memujuk kerisauanku sendiri. Memang ada gentar dijiwaku. Tapi aku tahu, aku harus melawan rasa takut itu.
            “Suruh Aqil hantar ajelah.”
            Aku tersentak mendengar cadangan itu. Tidak! Aku tidak mahu menyusahkan Aqil. Aku mampu pulang sendirian tanpa ditemani sesiapa.
            “Aqil, tolong hantarkan Nysa balik!” Teriak ibu Aqil sebelum sempat aku membantah.
Aqil memberhentikan tugasnya dan terus berjalan menghampiri kami. Dari riak air mukanya, dapat aku lihat wajah kepenatan. Aku mula dihantui rasa bersalah, gara-garaku Aqil masih tidak dapat merehatkan dirinya walaupun sepatutnya dia sudah boleh beristirehat sebaik sahaja kerja-kerja menggulung tikar selesai.
            “Tak apalah makcik, Nysa boleh balik sendiri. Biarlah abang Aqil rehat, dari pagi kerja tentu letih.” Pantas aku menolak cadangan itu. Tidak mahu Aqil bersusah payah untukku.
            “Makcik tak benarkan Nysa balik seorang diri. Kalau tak nak Aqil temankan apa kata Nysa tidur sini saja?”
            Aku memandang Aqil yang bercekak pingang di sebelah ibunya. Mana mungkin aku tidur di rumah itu. Pasti tidak manis jika diketahui oleh saudara mara Aqil yang lain walaupun aku adalah tunangnya. Aku berfikir sejenak, mencari jalan penyelesaian.
            “Tak payah fikir-fikirlah Nysa, tidur sini ajelah.”
            Aqil bergerak meninggalkan kami sebaik sahaja ayat itu keluar daripada mulut ibunya, seolah-olah dia juga menyetujuinya. Tapi aku masih berkira-kira dan akhirnya aku berkeputusan untuk pulang sahaja ke rumahku.
            “Tak apalah makcik lain kali ajelah Nysa tidur sini. Lagipun Nysa ada kerja kat rumah tu.” Aku menolak pelawaan murni ibu Aqil sebaik-baiknya, tidak mahu dia berkecil hati.
            “Ikut suka Nysalah, tapi Aqil hantarkan ya. Aqil hantar Nysa balik sekarang.”
            Belum sempat aku menyatakan hasratku untuk pulang sendirian ibu Aqil terlebih dahulu telah memberikan arahan kepada Aqil untuk menghantarku pulang. Aqil berpatah balik apabila mendengar panggilan ibunya dan kini kulihat mukanya masam mencuka.
            “Jadi, boleh kita gerak sekarang tuan puteri?” Aqil memandangku tajam.
            Aku segera bersalaman dengan ibu Aqil dan bergegas mendapatkan beg tanganku sebelum melangkah keluar. Aqil menekan alat kawalan jauh keretanya. Aku memberhentikan langkah melihat tindakan Aqil. Mana mungkin aku pulang dengan menaiki keretanya, jadi bagaimana dengan keretaku?
            “Naik kereta Abang Aqil ke?” Aku bertanya.
            “Habis tu, Nysa nak suruh abang hantar Nysa naik apa? Kapal terbang?”
            Mendengar kata dan nada suaranya itu aku tahu yang dirinya dalam keadaan marah. Mungkin betul tekaanku, pasti Aqil melihat diriku sebagai beban yang menyusahkannya. Walau hatiku sedih mendengarnya, aku tetap cuba mengukir senyum yang kutahu ternyata hambar.
            “Tiket flight pun dah tak ada rasanya. Tak apalah, Nysa drive sendiri. Lagipun kereta Nysa ada kat depan sana. Nysa datang sini cuma nak membantu, tak ada niat pun nak susahkan sesiapa.” Jelasku mengharapkan pengertian daripadanya. “Nysa balik dulu, assalamualaikum.” Hayunan kaki aku percepatkan menuju ke arah kereta yang aku letakkan tidak jauh dari rumahnya. Hatiku menangis sendiri. Rasa takut tidak lagi kurasa, yang ada kini cuma rasa hati yang terluka dengan sikapnya.
            “Nysa, tunggu!” Jeritan Aqil memberhentikan pergerakkanku. Biarpun kakiku sedikitpun tidak lagi berganjak namun aku tidak sesekali menoleh kearahnya.
            Call abang bila sampai nanti!”
            Aku meneruskan perjalanan sebaik sahaja Aqil selesai berbicara. Permintaannya itu tidak akan aku tunaikan. Untuk apa aku menghubunginya? Supaya aku akan terus dianggap menyusahkan kerana menganggu tidurnya pula? Cukup! Aku tidak mahu menjadi beban Aqil. Itu bukan janji yang aku buat pada hari aku bergelar tunangnya. Janjiku hanya ingin membahagiakannya, bukan meletak batu beban dibahunya.

           Bersambung...



Bab 4

EMPAT
            Aku bergegas menuju ke Hospital Ampang Puteri sebaik sahaja menerima panggilan daripada ayah. Tanpa pengetahuanku rupa-rupanya ayah Aqil sudah dua hari ditahan di wad akibat sesak nafas. Aqil langsung tidak pernah memaklumkan padaku tentang hal itu. Aku terpaksa membatalkan dua kelasku pada petang itu dan menggantikannya pada hari yang lain demi menjenguk bakal bapa mertuaku. Rasa marah pula pada Aqil saat ini, susah sangatkah untuk dia memaklumkanku tentang keadaan ayahnya. Sekiranya dia tidak mahu menghubungiku sekurang-kurangnya dia boleh mengirimkan pesanan ringkas.
            Aku mengetuk pintu sebelum memulas perlahan tombol pintu wad, bilik dimana ayah Aqil ditempatkan. Salam kuberikan beserta senyuman sebaik sahaja aku melangkah masuk. Ayah dan ibu Aqil membalas senyumanku itu. Aku terus mendapatkan ibu Aqil dan bersalaman dengannya.
            “Pakcik macam mana?” aku meletakkan bakul berisi buah-buahan yang sempatku beli tadi di atas meja kecil di sebelah katil. Perlahan-lahan ayah Aqil cuba bangun untuk duduk di katil itu sambil dibantu oleh ibu Aqil. Sebak pula rasa hatiku melihat keadaan Ayah Aqil. Mukanya sedikit pucat namun dia kelihatan bersemangat dan sering tersenyum.
            “Alhamdulillah pakcik dah sihat sikit ni. Nysa tak kerja ke hari ni?”
            “Separuh hari aje pakcik. Lepas ayah call Nysa masa lunch tadi, terus Nysa minta kebenaran pihak pengurusan nak jenguk Pakcik,” aku melabuhkan diri, duduk di sofa yang tersedia di dalam bilik itu.
            “Oh… patutlah sebelum ni Nysa tak datang jenguk pakcik. Pakcik ingatkan Aqil dah bagi tahu Nysa.” 
Aku menundukkan sedikit wajahku setelah mendengar kata-kata ayah Aqil.
            “Mungkin Aqil terlupa, Nysa jangan kecik hati pula. Aqil memang macam tu, kalau dah kerja satu apa pun tak ingat lagi,” ibu Aqil cuba meyakinkanku. Aku pula cuma mampu mengangguk-angguk, membenarkan kata-katanya.
“Assalamualaikum.”
Degup jantungku mula bergerak pantas mendengar suara itu. Seraya itu aku memalingkan muka pada pintu masuk. Aqil melangkah masuk bersama seorang wanita disisinya. Ya, aku yakin. Wanita itu adalah wanita yang sama yang menenami Aqil di majlis perkahwinan adik angkat Hadif tempoh hari. Rasa sedih dan kecewa menyerang tiba-tiba, ingin sahaja aku meninggalkan bilik itu. Aqil sedikit pun tidak menoleh ke arahku, dirinya sibuk memperkenalkan wanita itu kepada kedua orang tuanya.
Melihatkan keadaan itu, aku terus bangun dari sofa dengan harapan Aqil menyedari kehadiranku di situ. Paling tidak pun aku mengharapkan senyuman dari Aqil, satu-satunya lelaki yang aku rindui. Wanita itu bersalaman dengan kedua orang tua Aqil, ramah orangnya sehinggakan di kalangan meraka, akulah yang kelihatan sepeti orang asing. Kedua ibu bapa Aqil turut melayan mesra wanita itu.
Shafiza, siapa pula wanita ini dalam hidup Aqil. Runsing kepalaku memikirkannya. Mungkinkan wanita ini yang menjadi sebab utama kedinginan sikap Aqil kepadaku? Aku tidak ingin tahu apa yang berlaku di antara Aqil dengan wanita itu dan apa perhubungan mereka berdua. Apa yang aku ingin lakukan kini ialah segera beredar dari situ. Biarlah, mungkin aku tiba pada waktu yang tidak sesuai. Aku akhirnya berkeputusan meninggalkan mereka semua.
“Makcik, pakcik, Nysa balik dulu ya.” Ibu dan Ayah Aqil sedikit terkejut apabila aku minta izin untuk mengundur diri pada saat itu.
“Nysa nak balik dah, cepatnya?” Ibu Aqil mula bangun daripada duduknya apabila tangan aku hulurkan untuk bersalaman dengannya.
“Nysa lupa pula Nysa ada temujanji dengan kawan. Insya’allah nanti Nysa datang  lagi.” Aku mencipta alasan semata-mata ingin segera keluar dari bilik itu. Tidak rela melihat Aqil bersama wanita lain.
“Kirim salam pada mak dan ayah ya,” perlahan suara ayah Aqil kedengaran.
“Insya’allah pak cik! Saya balik dulu, assalamualaikum.”
Perlahan langkahku menuju ke muka pintu dan kemudiannya terus beredar dari situ. Aqil, langsung dia tidak berminat tentang hidupku saat ini. Dia hanya mendiamkan diri bersama wanita yang ada di sisinya itu. Mungkin dia mahu menjaga hati wanita itu, hati tidak henti-henti membuat andaian yang hanya menyeret aku ke gerbang duka. Setitis demi setitis air mata ini mula menitis dan semakin lama titisan ini menjadi tangisan yang tidak mampu lagi untukku tahan. Lantas kubiarkan sahaja air mata ini terus mengalir.
Dari jauh kedengaran suara yang memanggil kuat namaku. Aku kenal benar dengan suara itu, siapa lagi kalau bukan Aqil. Aku sedikit pun tidak menoleh ke belakang, gusar kalau-kalau Aqil melihat tangisanku ini. Aku tidak mahu kelihatan terlalu lemah di hadapannya, jadi aku pura-pura tidak dengar akan panggilannya. Aku melangkah laju mendapatkan keretaku dan meninggalkan hospital tanpa sedikitpun menoleh ke arah Aqil. Padaku, mungkin lebih baik begitu, hatiku masih sakit, masih pedih dengan apa yang berlaku. Kadang-kala hatiku berbicara sendiri, betulkah aku ini tunangnya? Benarkah  ruang di hatinya itu adalah untukku? Rasanya itu cuma angan-anganku. Mungkin semuanya harus aku selesaikan segera. Aku mahukan kepastian, siapa aku dihatinya?

AKU MEMATIKAN talian sebaik sahaja selesai berbual dengan ibu Aqil, sekadar bertanya khabar. Aku tahu alasan yang aku berikan untuk segera keluar dari bilik wad itu semalam sedikit pun tiada logiknya, namun apa lagi yang harusku nyatakan bagi menafikan tanggapan kedua orang tua Aqil bahawa aku meninggalkan mereka tanpa sebarang kata gara-gara kehadiran Shafiza. Bagi lebih meyakinkan mereka, aku turut berjanji akan datang melawat ayah Aqil selepas waktu kerja hari ini. Kini aku terikat dengan janji yang aku buat sendiri. Aku akan menunaikan janjiku itu, namun aku berharap aku tidak akan bertemu dengan Aqil nanti. Aku perlukan lebih kekuatan untuk bertemu dengannya dan aku belum bersedia untuk itu.
Selesai sahaja tugasku, aku terus memandu menuju ke hospital. Hujan  yang tadinya renyai, kini bertambah lebat. Aku melilau mencari tempat meletakkan kenderaan. Dalam keadaan begini aku yakin tentu sukar untukku mendapatkan tempat meletakkan kenderaan. Hampir lima belas minit berpusing di kawasan hospital, akhirnya ada juga ruang untuk keretaku. Sebaik sahaja mematikan enjin kereta, aku cuba mencapai payung pada tempat duduk belakang, namun payungku tiada di situ. Aku mula mengeluh, terlupa yang aku telahpun meminjamkannya pada Hadif.
“Macam mana nak turun ni?” Aku mula berbicara sendiri. Hujan sedikitpun tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti, langit pula semakin gelap. Aku mati akal, mahu ataupun tidak aku terpaksa menunggu di dalam kereta sehingga hujan reda.
Aku melihat jam di tangan, hampir pukul tujuh malam. Hujan masih lagi lebat, sesekali kedengaran guruh berdentum kuat. Tidak mahu terus menunggu aku akhirnya berkeputusan untuk turun dan masuk ke hospital. Berpayungkan tapak tangan, aku dengan pantas turun dari kereta dan berlari-lari anak akibatnya habis bajuku kebasahan. Walaupun begitu, aku menarik nafas lega, sekurang-kurangnya kini, aku tidak lagi hanya duduk menunggu di dalam kenderaan.
Dalam keadaan yang basah kuyup itu, aku terus menaiki lif untuk bertemu dengan orang tua Aqil di bilik mereka seperti mana yang telah aku janjikan. Seorang lelaki yang kukira dalam lingkugan 40an mengeleng-gelengkan kepalanya sambil melihat ke arahku. Mungkin keadaanku yang kuyup ini menyebabkan lelaki itu menunjukkan reaksi yang sedemikian. Ada juga penumpang lain dalam lif itu bergerak sedikit menjauhiku, mungkin takut turut kebasahan. Aku pula hanya mampu tunduk sepanjang berada di dalam lif.
Keluar sahaja daripada lif, jantungku mula berdegup pantas. Aku berdoa mudah-mudahan Aqil tiada di situ. Namun jauh di sudut hati, aku berharap dapat bertemu dengannya walaupun sebenarnya hatiku masih sakit dengan apa yang berlaku semalam. Tetapi entah mengapa rasa rindu dan kasih pada Aqil mengatasi kemarahanku padanya.
Pintu bilik wad tidak bertutup rapat ketika aku sampai. Daripada luar dapat aku perhatikan mereka yang berada di dalam bilik wad itu seorang demi seorang melalui ruang pintu yang sedikit terbuka. Aqil! Jantungku makin pantas berdegup sebaik sahaja terpandang Aqil. Terubat juga rasa rindu pada lelaki itu. Aku menarik nafas panjang mengumpul kekuatan menolak pintu bilik wad itu untuk masuk.
“ Ibu dengan ayah ajelah yang tunggu. Aqil tak ada masa nak tunggu lama-lama. Banyak kerja lain lagi yang Aqil nak kena buat. Lagipun Aqil dah janji dengan Shafiza nak jemput dia.”
Dapat aku dengar dengan jelas kata-kata itu. Aku tahu itu suara Aqil. Niatku untuk menolak pintu dan masuk ke dalam tidak aku teruskan. Tombol pintu kulepaskan tanpa aku sedar. Aku tiba-tiba menjadi kaku di hadapan bilik wad itu. Aku tidak mahu percaya dengan apa yang telah aku dengar. Tidak, sedikit pun aku tidak mahu percaya, masakan Aqil sanggup berbuat begitu padaku.
“ Terpulanglah Aqil, nanti jangan nak salahkan ibu kata ibu tak bagi tahu,” suara ibu Aqil pula membalas kata-kata anaknya itu.
Aku masih berdiri di situ, seincipun tidak berganjak. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku berlalu pergi. Tapi entah kenapa langkah kakiku seolah-olah telah dipaku.
“ Aqil pergi dululah ayah, ibu…”
Derapan kaki Aqil semakin menghampiri pintu namun aku masih lagi berdiri di tempat yang sama seperti tadi. Akhirnya pintu bilik ditarik dan mata kami bertentangan.
“ Nysa, macam mana boleh basah kuyup ni?” Aqil terkejut melihatku, nyata dari nada suaranya jelas dia tidak senang dengan kehadiranku di situ pada tika ini. Lama aku merenungnya sebelum melemparkan senyuman palsu.
By the way, abang ada hal ni, jumpa nantilah ya. Erm… boleh tepi sikit?”
Rasanya Aqil sama sahaja dengan orang-orang di dalam lif tadi. Tidak bersimpatikah dia padaku? Namun, kuanjakkan juga sedikit langkahku memberi ruang untuk Aqil beredar. Dan tanpa menunggu sesaat pun lagi Aqil terus berlalu meninggalkanku. Begitu berat dugaanMu ini Ya’ Allah. Mengapa ini yang harus aku lalui, hati kecilku menangis.
 “ Nysa sampai pun. Mari masuk.” Ibu Aqil yang sudah berada di hadapan pintu bilik memimpin tanganku masuk ke dalam bilik dan aku menuruti langkahnya.
“ Habis basah kuyup. Nysa, Nysa…” Kini giliran ayah Aqil pula bersuara setelah melihat keadaanku.
“ Aqil tu memang macam tu, semua benda nak cepat. Sampai nak tunggu tunang sendiri pun tak sempat. Nysa jangan ambil hati ye.” Ibu Aqil cuba memujuk. Mungkin dia terdengar perbualan aku dengan Aqil tadi.
“ Nysa faham.” Aku cuba mengukirkan senyuman sekali lagi. Hanya itu yang mampu aku lakukan untuk melindungi luka dihatiku.

KEPALAKU terasa berat, mungkin hujan lebat yang membasahi anggota tubuhku semalam adalah puncanya. Namun aku gagahkan juga bersiap untuk ke tempat kerja. Pagi itu aku bersiap dengan pantas sekali. Baju kurung berwarna hijau muda aku keluarkan daripada almari pakaian. Sedikitpun bedak tidak menyentuh kulit mukaku apatah lagi pelembab bibir. Kepala yang semakin memberat tidak mengizinkan aku berias seperti selalu. Seketika aku mengenakan jam tangan sambil menjeling pada jarum jam itu, hampir pukul tujuh pagi. Segera aku bergerak untuk keluar daripada rumah, tidak mahu merempuh kesesakan lalulintas yang jarangnya mahu tenang.
            Sebaik saja tiba, aku segera meletakkan kereta pada tempat letak kereta yang disediakan untuk kakitangan. Enjin kereta aku matikan, bersyukur kerana telah selamat tiba. Aku memejamkan mata buat seketika, sakit kepala masih terasa dan kali ini denyutannya bertambah kuat umpama tidak mahu henti kesakitannya. Aku mengurut perlahan kepalaku, berharap kelegaan akan segera tiba. Namun semua itu tidak berlaku, saat demi saat sakitnya kian parah sehingga membuatkan aku tidak mampu untuk berdiri tegak dan keluar daripada keretaku. Lantas aku benamkan wajah pada stering keretaku bersama kesakitan yang mencengkam hebat.
            Apabila cermin keretaku diketuk berkali-kali, aku segera mengangkat sedikit wajahku. Hadif! Kerutan pada wajah Hadif itu aku faham maksudnya. Pasti Hadif pelik melihatkan keadaanku dalam kereta itu. Berbekalkan kudrat yang tidak sekuat mana, aku mengarahkan kakiku untuk membawa aku keluar daripada keretaku itu. Senyuman kecil aku berikan kepada Hadif tatkala kakiku mula melangkah keluar, namun belum sempat pintu kereta kututup rapat, duniaku jadi gelap secara tiba-tiba!

MATA AKU buka perlahan dan ketika tersaji semuanya di hadapan mata, orang yang pertama yang dapat aku lihat ialah Hadif. Senyuman Hadif tidak lekang daripada bibirnya. Aku mengalihkan pula pandangan pada ruangan sekelilingku dan rasanya aku tahu dimana aku berada pada saat itu. Dimana lagi kalau bukan di hospital! Bau ubat-ubatan yang dengan segera meresap masuk ke dalam rongga hidung benar-benar merimaskan aku. Aku cuba bangun daripada pembaringan, namun kepalaku masih lagi sakit walaupun tidak sehebat rasa sakit yang aku tanggung tadi. Tidak larat pula membawa diriku duduk di atas katil itu. Aku cuba untuk bangun buat kali yang kedua dan pada kali ini Hadif memberikan bantuan kepadaku. Dia meletakkan bantal bersarung putih bersih itu pada kepala katil untuk aku bersandar, lantas dengan penuh berhati-hati Hadif membetulkan dudukku.
            “Terima kasih Hadif. Mujur kau ada, kalau tidak tak tahulah aku apa dah jadi pada aku sekarang,” ucapan itu ikhlas kau tujukan kepada Hadif kerana aku yakin bahawa Hadif adalah orangnya yang telah membawa aku ke rumah sakit ini.
            “Hal kecil aje pun. Kau dah okey ke ni?” soal Hanif sambil mengangkatkan sedikit keningnya.
            “Alhamdulillah, okey sikit dah.” Balasku perlahan.
            “Oh, ya. Aku dah call parent kau, sekejap lagi dia orang sampailah tu kut!” Sambung Hadif, tidak mahu mematikan perbualan antara kami.
            “Terima kasih Hadif. Menyusahkan kau ajekan? Sorrylah ya!” semoga saja Hadif dapat membaca sinar mataku yang benar-benar berterima kasih atas tindakannya itu. Rasa terhutang budi dengan Hadif. Dalam keadaan-keadaan terdesak, selalunya dialah yang menjadi penyelamatku. Entah bagaimana caranya mahu membalas budi baiknya itu.
            “Kau nikan Nysa, dari awal kita kenal sampai sekarang, tak habis-habis ucap terima kasih kat aku. Kau tak penat ke?” Hadif tersenyum di hujung katanya.
            “Habis tu, kalau bukan terima kasih, kau nak suruh aku cakap apa kat kau?” soalku kembali kerana sememangnya ucapan terima kasih itu layak untuknya.
            “Sekali-sekala kau ucaplah thank you ke! Hah, kan lain sikit bunyinya tu. Tak adalah telinga aku ni bosan mendengarnya.” Hadif ketawa dengan seloroh yang diciptanya itu.
            Mendengar kata-kata Hadif, aku jadi tertawa riang. Sempat juga aku memukul Hadif perlahan dengan menggunakan majalah yang ada disisi katil bila terasa dipermainkan. Hadif mengadu kesakitan. Kemudiannya, kami berdua ketawa lagi. Sebagai seorang kawan, Hadif selalu saja menimbulkan rasa senang dihatiku. Alangkah bagusnya jika Aqil juga berkelakuan seperti Hadif, sentiasa memahami dan menanam benih ceria dihariku.
Aku menundukkan wajah apabila terkenangkan Aqil. Mengapa sedikitpun aku tidak dapat membaca hatinya? Terlalu sukar untukku menghampirinya apatah lagi mendekatinya. Walaupun ikatan yang ada sepatutnya menjadikan aku dan Aqil semakin hampir, namun entah mengapa setiap kali bertemu dengan Aqil aku hanya terasa ruang yang semakin melebar dari hari ke hari. Jarak yang seakan dicipta oleh Aqil sendiri. Itulah yang membuatkan aku bertambah tidak mengerti.
            “Kenapa ni Nysa? Kau ada masalah ke?”  Seperti selalu, Hadif mengajukan soalan yang sama setiap kali aku menunjukkan reaksi wajah sebegitu.
            “Tak ada apalah Hadif. Hah, aku dengar cerita kau nak cuti dua hari, kau nak pergi mana?” segera aku mengubah topik perbualan, tidak mahu Hanif terus-menerus meneka hatiku.
            “Balik kampung,” ringkas jawapan yang diberikan Hadif.
            “Balik kampung? Hai, dah tak sempat nak tunggu hujung minggu ke?” Soalku kehairanan atas pengakuan Hadif. Pelik, selalunya Hadif hanya akan pulang ke kampung pada hujung minggu. Sejak aku mengenali Hadif, tidak pernah sekalipun Hadif mengambil cuti pada hari bekerja semata-mata untuk pulang ke kampung jika tiada hal penting. Aku bukan seorang tukang ramal dan aku juga tidak mempunyai kelebihan untuk membaca fikiran atau hati orang lain tapi aku  cukup kenal dengan perangai Hadif, dia selalu mengutamakan para pelajarnya, jadi mana mungkin dia mengambil cuti tanpa sebarang agenda.
            Sorrylah Nysa, tak sempat nak bagi tahu kau. Sebenarnya aku bertunang hujung minggu ni.” Hadif memandang ke arah lain, seolah-olah mahu menyembunyikan pandangannya dariku.
            “Bertunang?” aku tersentak dengan perkhabaran yang dibawa oleh Hadif itu. Benar-benar terkejut. Lama aku memandang Hadif yang masih tidak mahu menunjukkan wajahnya. Musykil, tiada angin, tiada ribut tiba-tiba saja aku diberitakan dengan berita pertunangannya.
            “Ha’ah, pilihan mak aku. Kau kan tahu aku ni anak yang soleh, jadi sebagai anak yang baik, aku kenalah ikut kehendak mak aku,” getus Hadif bersama senyuman nipis dibibirnya.
            “Tahniah!” segera aku mengucapkan itu pada Hadif.
            “Aik, takkan tahniah aje? Bagilah apa-apa yang patut” Balas Hadif pula.
            “Kau nak hadiah apa?”
            “Aku nak satu aje daripada kau”
            “Apa dia? Cakaplah!”
            “Walau apapun terjadi, boleh tak kau jaga kesihatan kau? Itu aje yang aku nak daripada kau. Aku risaulah tengok kau macam ni!”
Kata-kata Hadif membuatkan aku tertunduk lesu. Mengapa dia begitu risau dengan keadaanku sedangkan Aqil langsung tidak mempunyai rasa itu?  
            “Assalamualaikum!”
            Aku mengangkat wajah, melihat gerangan yang menghulurkan salam. Aqil! Jantungku seakan disentap ketika melihat Aqil muncul di depan mata saat-saat hati dan fikiran memikirkan tentang dirinya. Anak matanya yang tajam merenungku itu dapat aku rasa bisanya. Dan aku entah kenapa pula tidak mahu mengalihkan pandanganku padanya.
             “Aku balik dululah Nysa, nanti aku datang lagi.”
Suara Hadif akhirnya memutuskan tali pandanganku pada Aqil. Aku tersenyum pada Hadif, senyuman ikhlas, bukannya senyuman yang sengaja aku buat-buat semata-mata mahu melahirkan rasa cemburu dalam diri Aqil.
            “Nanti kalau ada apa-apa contact aku. Jaga diri baik-baik tau, aku tak ada kat sini nak jaga kau.” Senyum Hadif melirik pada hujung pangkal katanya.
            “Yelah, nanti kalau ada apa-apa hal aku contact kau. Thanks Hadif, Elok-elok memandu.” balasku tanpa menghiraukan Aqil.
            Thanks sebab call maklumkan pasal keadaan Nysa. By the way awak tak payah risau apa-apa, Nysa tunang saya dan saya tahu macam mana nak jaga dia.”
            Sebelum berlalu Hadif yang terlebih dahulu menghulurkan tangan            barulah Aqil menyambut tangan itu dengan ucapan yang pastinya dapat membuatkan telinga Hadif panas. Namun Hadif hanya tersenyum dan memaparkan riak tenang seolah-olah tembakan Aqil tidak langsung terkena padanya.
            Aku enggan memandang wajah Aqil walaupun Hadif sudah berlalu. Mungkin hati masih marah padanya atas perkara yang lalu. Aqil mengambil tempat duduk, menggantikan Hadif. Kemudian aku terdengar keluhan kecil keluar daripada mulutnya.
            “Tak payah susahkan Hadif  lagi. Kalau ada apa-apa hal lepas ni terus call abang aje.” Aqil menjarakkan kerusi yang didudukinya itu dengan katil.
            “Kalau Nysa call pun, abang Aqil bukannya ada masa nak jawab panggilan Nysa. Abang Aqil kan sibuk.” aku membalas, biar Aqil tahu kenyataannya. Aku tahu, yang sebenarnya aku masih marah pada Aqil dengan apa yang berlaku selama ini. Hatiku sendiri mampu menilai kedudukan aku di sisinya. Pasti tidak sepenting mana.
            “Jadi Nysa marahkan abanglah ni?”
            “Abang Aqil rasa Nysa marahkan abang Aqil ke?
            “Habis, kalau muka abang pun Nysa tak sudi nak pandang, kalau bukan marah apa lagi?” Aqil memeluk tubuhnya.
            “Okey, abang tahu Nysa marahkan abang pasal abang tak hiraukan Nysa tempoh hari dan Nysa marahkan abang pasal Shafiza. Abang tahu semua tu! Tapi Nysa cuma fikir pasal marah Nysa ajekan? Habis Nysa ingat abang tak tahu nak marah bila tengok Nysa dengan Hadif?” Aqil mempersoalkan tentang Hadif dengan tiba-tiba.
            Aku terus memandang Aqil tepat, mengapa tiba-tiba sahaja dia mempersoalkan tentang Hadif? Mengapa dia mahu mengaitkan aku dengan Hadif?
            “Apa masalah abang Aqil dengan Hadif? Kenapa abang Aqil mesti kaitkan Nysa dengan Hadif? Apa masalah abang Aqil dengan Hadif?” aku luahkan apa yang aku rasa. Hadif tidak seharusnya dipersalahkan.
            “Jadi, apa pula masalah Nysa dengan Shafiza? Kenapa Nysa mesti marah bila nampak abang dengan Shafiza?” Aqil masih terus mempertahankan tindakkannya.
            Hatiku mula hiba, terasa seperti ada air mata yang mahu gugur tapi aku tahankan juga. Tenyata Aqil sengaja mahu mencari salahku.
            “Nysa tak ada apa-apa masalah dengan Shafiza. Betul, memang Nysa kecil hati bila abang Aqil lebih mengutamakan Shafiza daripada Nysa, sebab Nysa tunang abang Aqil! Tapi Nysa tak ada niatpun nak mempersoalkan pasal Shafiza sebab Nysa percaya pada abang Aqil,” aku berusaha menyatakan kebenarannya.
            “Nysa minta maaf kalau hati abang Aqil tersinggung disebabkan Hadif. Untuk pengetahuan abang Aqil, Hadif cuma kawan biasa pada Nysa. Abang Aqil sendiri pun tahukan besar mana rasa cinta Nysa pada abang Aqil? Hadif akan bertunang hujung minggu ni, jadi tak perlulah abang Aqil nak kaitkan Nysa dengan Hadif lagi lepas ni.” Mendengar kata-kataku itu, Aqil mendiamkan diri. Biarlah dia tahu bahawa pada ketika ini dia sedang mencurigai hati seorang tunang yang langsung tidak pernah terlintas untuk menduakan dirinya walaupun untuk sesaat.
            “Seperkara lagi, Nysa rasa abang Aqil kena fikirkan balik pasal hubungan kita. Kalau abang Aqil rasa Shafiza lebih berhak ada di sisi abang Aqil, Nysa takkan jadi penghalang.” Lega hatiku apabila sudah aku jelaskan semuanya. Aku tidak meminta Aqil untuk memahami hatiku, apa yang aku mahu hanyalah Aqil menaruhkan sedikit kepercayaannya buatku.
            “Abang takkan mungkir janji. Nysa tetap tunang abang. Mungkin abang salah faham pasal Hadif, tapi tu tak bermakna Nysa tak bersalah. Nysa tetap bersalah sebab Nysa keluar berdua dengan Hadif tanpa pengetahuan abang. Jadi Nysa kena tunaikan permintaan abang.”
            “Abang Aqil tetap nak salahkan Nysa jugakan?”
            “Memang salah Nysa. Mulai hari ini Nysa tak boleh pakai baju warna ungu tanpa kebenaran abang.”
            “Abang Aqil…”
            No objection! Ini permintaan abang dan sebagai orang yang bersalah, Nysa kena penuhi permintaan abang macam yang kita janjikan sebelum ni.”  kata Aqil tegas.
            Permintaan Aqil itu walaupun agak pelik tapi sedikit sebanyak menimbulkan rasa senang dalam hatiku. Kembali ada rasa bahagia dalam hati. Kesakitan tidak lagi aku rasai saat ini, mungkin sudah sembuh sepenuhnya dengan adanya Aqil. Rasanya aku akan dibenarkan keluar daripada hospital tidak lama lagi.

            Bersambung....




Thursday, 17 March 2011

Bab 3

TIGA
Aku melihat cincin emas bertakhtakan berlian di jari manisku, senyumanku terukir kini. Selepas perjumpaan dengan Aqil dahulu, aku banyak mempertimbangkan kata-katanya dan pada hari ini sudah hampir setahun aku bergelar tunang kepada lelaki itu. Mungkin jambangan bunga yang dihantar setiap hari padaku telah melembutkan hati dan sekali lagi membuka pintu hatiku padanya. Atau mungkin sikapnya yang tidak berputus asa terhadapku membuatkan aku kembali jatuh hati padanya. Apa pun, kini aku benar-benar bahagia dan berharap agar kebahagiaan ini sentiasa mengiringi perjalanan hidupku dengan Aqil. Perkahwinan akan berlangsung pada akhir tahun, ini bermakna aku harus memastikan aku menyiapkan diriku untuk menjadi seorang isteri tidak lama lagi.
            Thanks krn sudi terima abg…
Mesej yang di hantar oleh Aqil pada majlis pertunanganku itu masih aku simpan dan aku tatap berkali-kali, selepas cintaku ditolak dulu, sedikit pun aku tidak lagi pernah memasang angan-angan untuk hidup bersamanya. Namun takdir tuhan tiada siapa yang dapat menyangka. Mungkin betul kata Aqil, aku sememangnya telah diciptakan untuknya sebagaimana Hawa diciptakan untuk Adam. Aku bersyukur pada Allah SWT kerana mengurniakan Aqil dan kebahagiaan ini padaku. Apa pun yang akan terjadi kelak, aku akan mempertahankan cintaku pada Aqil dan  berharap Aqil juga begitu. Aku akan sentiasa memastikan Aqil berbahagia dan ini adalah janjiku. Mulai dari saat ini, kebahagiaan Aqil adalah kebahagiaanku.
Namun kini jambangan bunga tidak lagi aku terima seperti hari-hari sebelum aku terikat dengan ikatan pertunangan. Namun itu bukan satu masalah yang besar padaku, lagi pun kini aku sedang sibuk membuat persiapan awal majlis persandinganku. Beberapa butik pengantin aku tinjau bagi mendapatkan perkhidmatan yang benar-benar mampu memenuhi citarasaku.
Hal-hal berkaitan dengan jemputan, ibu dan ayah telah menyatakan persetujuaan untuk membantu. Sekurang-kurangnya ringan sedikit tugasku, nak diharapkan Aqil, rasanya tidak perlu memandangkan beban di hospital pasti sudah cukup memenatkannya. Itulah yang sering dinyatakan oleh Aqil setiap kali aku menghubunginya dan mengajaknya keluar. Aku tidak sedikit pun berkecil hati akan hal itu memandangkan aku faham akan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor. Walau pun Aqil lebih banyak menghabiskan masanya di hospital berbanding denganku, sebagai tunangnya aku harus memahami dirinya dan itulah yang sedang cuba aku lakukan.
            Hujung bulan akhirnya tiba lagi, inilah saat-saat yang aku nantikan kerana aku hanya berkesempatan untuk bertemu Aqil setiap kali hujung bulan tiba dan ini adalah permintaan dari Aqil sendiri. Aku cuba memenuhinya, padaku ini ada juga kebaikannya memandangkan kami bakal bersanding tidak lama lagi, jadi tidak manis jika selalu sangat berjumpa.
Seperti selalu, aku sampai lebih awal dari Aqil, aku membetulkan lipatan tudungku agar kelihatan lebih kemas. Suasana di dalam kompleks membeli belah Sogo agak sesak pada waktu ini, aku mendapatkan tempat duduk di dalam restauran Secret Recipe yang hampir dipenuhi pelanggan. Agak lama menanti Aqil di situ, aku akhirnya berkeputusan membuat pesanan makanan terlebih dahulu sementara menanti kedatangan Aqil. Pasti kesesakan lalu lintas telah menyebabkan kelewatan Aqil.
            Makanan telah pun sedia terhidang namun Aqil masih juga belum tiba. Telefon bimbit Aqil tidak berjaya aku hubungi, aku mula merasa penat menunggu Aqil di situ. Setiap kali pun begitu, Aqil tidak pernah tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Adakalanya aku terasa seolah-olah hanya aku yang merinduinya dan sentiasa ingin bertemu dengannya, tetapi Aqil rasanya tidak berfikiran begitu. Entah apa yang ada dalam fikiran dan hatinya aku pun tak tahu
            Maaf! Abg x dpt dtg, ada hal skt. Kt jmp nnt. 
Seperti selalu hanya mesej yang yang ditinggalkan untukku, susah sangatkah untuk dia menghubungiku untuk menyatakan ketidakhadirannya. Aku memandang sepi hidangan yang masih belumku sentuh, selera makanku juga telah tertutup. Aku terus membuat pembayaran dan meninggalkan restauran itu untuk pulang ke rumah. Aqil sudah mula berubah, jerit hatiku.
Sesampai sahaja di rumah, aku masih lagi terus menghubunginya walaupun aku masih marah dengan dirinya. Aku ingin tahu keadaanya, sihatkah dia? Apa yang sedang dia lakukan saat ini? Hal apa yang begitu penting sehingga dia tidak boleh berjumpa denganku sebentar tadi?
Jam baru menunjukkan pukul 10.35 minit malam, tapi tiada tanda yang menampakkan Aqil akan menjawab panggilanku. Lama aku menanti di talian, namun apa yang kedengaran hanyalah suara operator yang menyatakan nombor yang sedangku dail tidak dapat dihubungi. Ke mana Aqil? Mengapa panggilanku tidak djawab? Semuanya makin merisaukan diriku. Aku cuba sekali lagi menghubunginya, berharap kali ini ada jawapan darinya.
            “ Assalamualikum, Abang Aqil tak apa-apa ke?” Terus aku bertanya sebak sahaja Aqil menyambut panggilanku. Lega sedikit rasa hatiku apabila akhirnya Aqil menjawab panggilanku itu.
            “Wa’alaikumusalam, Abang okay. Sorry sebab tak dapat jumpa Nysa tadi.” Perlahan suara Aqil menjawab seolah tidak menyenangi perbualan kami.
            “Tak apa, lain kali boleh jumpa. Dah makan?”
            “Dah! Nysa abang ada kerja ni, kita berbual nanti-nantilah ya.”
Belum sempat aku membalas kata-kata Aqil, talian telah diputuskan. Aku hanya mampu mengeluh. Aqil sememangnya telah memberi peringatan padaku supaya tidak menghubunginya sekiranya tiada apa-apa yang mustahak dan aku akur tenang itu, namun aku ada hak untuk mengetahui keadaanya. Salahkah sekiranya aku ingin mengambil berat tentang tunangku sendiri?

MAJLIS perkahwinanku dan Aqil yang sepatutnya berlangsung hujung tahun ini terpaksa ditundakan atas permintaan Aqil sendiri. Namun tidak pula Aqil memaklumkan padaku majlis itu ditunda sehingga bila. Meskipun aku agak terkejut dengan permintaaan Aqil itu namun aku tetap bersetuju dengan penangguhan itu. Aqil menyatakan bahawa dia masih belum bersedia untuk berumahtangga. Sememangnya aku tahu itu cuma alasan yang dicipta oleh Aqil tapi aku berusaha memahaminya. Pasti Aqil mempunyai sebab-sebab tertentu sehingga dia sanggup membuat keputusan sebegitu.
            “Abang harap, Nysa boleh faham abang.” Aqil sedikit pun tidak memandang ke arahku. Mungkin ada rasa bersalah yang bersarang dalam hatinya.
            “Tak apa! Walaupun Nysa tak tahu apa sebabnya, tapi Nysa akan cuba faham Abang Aqil.” Aku ikhlas menyatakan itu. Padaku, biarlah Aqil benar-benar bersedia untuk menjadi ketua kepada keluargaku kelak. Aku harus memberi ruang waktu untuknya membuat persiapan itu.
            So, Nysa nak apa?”
Terhenti langkahku mendengar pertanyaan dari Aqil. “Maksud Abang Aqil?”
            “Mulai dari hari ini, kalau salah seorang dari kita ada buat salah, kita kena bagi pihak yang tak bersalah buat satu permintaaan. Sebagai tanda minta maaf, orang yang bersalah kena tunaikan apa pun permintaan orang yang tak bersalah.” Ada senyuman kecil di hujung katanya. Jarang sekali aku dapat melihat senyuman itu.
            So, apa permintaan Nysa?”
            “Okay, kalau macam tu Nysa nak  Abang Aqil penuhkan bilik Abang Aqil dengan gambar-gambar Nysa, boleh?”
Terkejut Aqil mendengarkan permintaanku yang tak masuk akal itu. Aqil tercenggang, dahinya dikerutkan. Aku ketawa besar melihat reaksi darinya.
            “Tak adalah, Nysa gurau aje.” Kedua tanganku tepuk perlahan betul-betul di hadapan muka Aqil, cuba untuk mematikan lamunannya dan aku masih terus ketawa.
            “Abang serius ni, Nysa main-main pula.”
            “Iyalah kali ni Nysa serius, Nysa nak Abang Aqil nyanyikan satu lagu untuk Nysa, bolehkan?”
            “Tengok tu, merepek aje kerjanya.” Aqil menekan alat kawalan jauh keretanya.
            “Apa pula merepek, betullah ni.” Aku menarik tali pinggang keledar sebaik sahaja memasuki kereta.
            “Dah! Abang Aqil bagi peluang sampai esok pagi, kalau tak ada permintaan yang releven, peluang Nysa untuk buat permintaan kali ni kira batal. Balik ni fikir betul-betul.”
            “Apa pula, kata apa-apa permintaan pun boleh.” Aku betul-betul tak puas hati dengan penjelasan Aqil.
            “Permintaan yang releven sahaja akan dilayan, harap maklum.” Aqil tersenyum lagi, enjin keretanya dihidupkan dan kemudiannya beredar meninggalkan kawasan letak kereta Mid Valley. Aku turut tersenyum, sekurang-kurangnya hari ini aku berhasil membuat Aqil tersenyum.

AKU memutuskan talian setelah selesai berbual dengan Aqil. Gembira rasanya apabila permintaanku dipenuhi. Permintaanku agar Aqil memberikan kebenaran untuk aku menghubunginya paling tidak pun seminggu sekali akhirnya dipenuhi. Aqil menetapkan hari rabu, jam 10.00 malam sebagai waktu untukku menghubunginya. Walau pun agak pelik, namun aku bersyukur. Kata Aqil, dia sememangnya tidak gemar berbual di dalam telefon, mungkin itulah yang menyebabkan Aqil jarang sekali berhubung denganku  melalui telefon. Aku memejamkan mata, bayangan Aqil muncul lagi. Kini bayangan Aqil sentiasa menemaniku, mungkin kerana cintaku  semakin mendalam padanya.
            Miza sudah hampir siap mengemaskan kesemua barangnya. Aku hanya mampu melihat Miza memasukkan buku-buku di raknya ke dalam kotak. Berita tentang Miza dinaikkan pangkat sememangnya berita yang menggembirakan namun berita tentang Miza ditukarkan ke cawangan baru syarikatnya di Perlis adalah berita yang menyedihkan padaku. Hampir tiga tahun kami tinggal bersama, aku sendiri sudah menganggap Miza seperti ahli keluargaku. Aku pasti akan merindui Miza apabila ketiadaannya nanti. Selalunya Miza menjadi tempat untuk aku mengadu, selepas ini pada siapa pula aku akan kongsi kisah suka dukaku.
            “Alah Nysa, Perlis dengan KL ni bukannya jauh sangat. Senang-senang nanti, aku datanglah jenguk kau kat sini. Kalau tak pun, kau datanglah Perlis jalan-jalan.” Miza masih tekun mengemaskan buku-bukunya
            “Insya’allah, itu pun kalau kau tak sibuk. Orang macam kau ni, mana ada banyak masa, kadang-kadang masa tidur kau pun tak cukup.”
            “Macam perli aku aje bunyinya, kau ingat aku ni obsess sangat ke dengan kerja.” Miza mencekakkan pinggangnya.
            “Bukanlah maksud aku macam tu, aku cuma nak ingatkan kau aje, kerja tu kerjalah juga, kesihatan tetap kena jaga. Ingat tu!”
            “Iyalah, hah! Kau tu, kahwin nanti jangan lupa jemput aku pulak.” Kata-kata Miza membuatkan aku tersenyum. Mustahil Miza tak diundang ke majlisku nanti, aku akan pastikan Miza menjadi rakan pertama yang akan menerima undanganku.
            “Oh ya, sebelum aku lupa, dah ada orang nak sewa bilik aku tu. Kalau tak ada apa-apa hal, awal bulan depan dia sampai.”
            “Orang mana?” Miza mengambil tempat di sebelahku setelah selesai memasukkan kesemua bukunya ke dalam kotak.
            “Orang sinilah, tapi baru balik dari Amerika.”
            “Amerika!”aku sedikit terkejut.
            “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri Nysa!”
            “Takkan tak ada rumah sendiri?” aku masih tidak berpuas hati.
            “Tak taulah, kalau tak silap dia nak duduk sementara aje sebab rumah dia dalam proses renovation. Nama dia Sara, Sara apatah, aku pun lupa.”
            “Mana kau kenal dia?” kesian juga aku tengok Miza, terus menerus disoal olehku.
            Client syarikat tempat aku kerja. Dia tau aku nak pindah, so dia tanyalah aku kalau-kalau ada bilik kosong. Kau jangan risaulah Nysa, Sara tu nampak macam baik aje orangnya.” Miza cuba meyakinkan.
            “Risau apa pula, taklah. Saja aje nak tahu pasal dia.” Giliran aku pula meyakinkan Miza bahawa sesungguhnya aku sedikit pun tidak risau. Aku mula memikirkan pemilik nama Sara itu,  pasti cantik orangnya secantik namanya.

AKU memandu laju menuju ke Hospital Ampang Puteri pada waktu rehat tengahari itu,  sengaja ingin membuat kejutan buat Aqil di hari jadinya. Aqil tidak mungkin bertemu denganku sebelum hujung bulan tiba, jadi terpaksaah aku mencarinya hari ini juga.
Kotak yang berisi pen yang telah siap kubalut kemas kukerling sebentar. Selepas membeli pen itu minggu lepas, aku terus menghantarkan pen tersebut untuk diukirkan namaku di atas badan pen berwarna emas itu. Hari ini Aqil menjangkau usia 30 tahun. Seperti tahun sebelumnya, sejak awal lagi aku telah menyediakan hadiah buat Aqil. Walaupun Aqil sekali pun tidak pernah memintanya daripadaku, namun aku tetap ingin menghadiahi Aqil sesuatu. Ini kulakukan bagi mengingatkan Aqil bahawa ada  seorang wanita yang sentiasa mengambil kisah tentangnya walau pun hal itu hanya perkara remeh padanya.
Selepas Aqil tamat pelajaran di universiti, aku tidak pernah lagi bertemu dengan Aqil. Namun begitu aku sentiasa pastikan setiap kali hari lahir Aqil tiba, ucapan selamat hari lahir itu akan keluar dari mulutku biarpun Aqil tidak pernah mendengarnya. Setiap perkara yang berkaitan dengan Aqil adalah perkara penting bagiku. Biarpun Aqil langsung tidak mengingati hari lahirku, aku tidak pernah berkecil hati. Aku tahu, sebagai seorang doktor, ada banyak perkara lain yang lebih penting untuk Aqil fikirkan selain tarikh kelahiranku. Mungkin itu cuma perkara remeh pada Aqil.
Aku menghubungi Aqil sebaik sahaja tiba di hospital. Berkali-kali aku cuba menghubunginya namun talianku masih tidak berjawab. Aku mengunci keretaku lalu melangkah masuk ke dalam hospital untuk mendapatkan Aqil.
            “Nysa!” aku berpaling apabila terdengar namaku dipanggil dengan kuat.
            “Abang Aqil.”
Lelaki itu berlari-lari anak menuju ke arahku. Beberapa orang rakannya di belakang kelihatan tersenyum.
            “Nysa buat apa kat sini, tak sihat ke?” Aqil mengajukan pertanyaan sebaik saja terpacul di depanku.
            “Selamat hari jadi.” Aku memberikan senyuman termanis buat Aqil.
            Thanks! Nysa datang semata-mata nak wish happy birthday kat abang aje?”
            “Taklah! Nah, hope Abang Aqil sudi terima hadiah yang tak semahal mana ni.” Aku menghulurkan hadiah yang aku keluarkan dari tas tanganku. Agak lama Aqil memerhatikan hadiah itu sebelum Aqil mendapatkannya.
            “Lain kali tak payah susah-susah sediakan hadiah untuk abang. Hadiah yang lepas pun abang tak sempat nak buka lagi.”
Aku tersentak mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Aqil. Tahukah dia apa yang sedang diperkatakannya. Kali ini aku benar-benar berkecil hati. Dalam tempoh setahun ini, tak akan Aqil langsung tidak mempunyai masa untuk melihat sendiri hadiah pemberianku. Kalau betul pun Aqil masih belum membuka hadiah pemberianku setahun yang lalu, tak perlulah dia menyatakannya padaku. Tidak bolehkah dia menjaga hati dan perasaanku ini, susah sangatkah untuk melakukan semua itu.
            “Okaylah Nysa, kalau dah tak ada apa-apa hal abang masuk dululah. Terima kasih sekali lagi untuk hadiah ni.”
Tanpa rasa bersalah Aqil pergi begitu sahaja meninggalkan aku. Aku masih berdiri di situ, sedikit pun tidak berganjak biarpun Aqil telah berlalu. Semakin aku cuba untuk menambat hati Aqil, semakin aku bersakit hati dengan sikapnya.
Kata-kata Aqil benar-benar menghantuiku, ternyata pemberianku sedikit pun tidak dihargainya, apakah aku juga dianggap begitu? Aku melangkah longlai menuju ke kereta, fikiranku kusut sekali dan saat itu bayangan Aqil muncul lagi.
Pemanduanku menuju ke universiti kerap kali terganggu. Beberapa kali juga kereta-kereta yang berada dibelakang keretaku membunyikan hon seperti cuba mengingatkan atas kecuaian aku tika ini. Kata-kata Aqil sebentar tadi benar-benar menggangguku. Tidakkah dia tahu aku bersungguh-sungguh menyediakan hadiah-hadiah itu buat dirinya?
Sampai sahaja di universiti aku terus menuju ke bilik pensyarah. Sapaan beberapa pelajar padaku hanyaku balas dengan senyuman nipis, tidak seperti selalu setiap sapaan mereka akan kubalas sebaik mungkin. 
Aku melepaskan lelahku di kerusi empuk milikku. Nasib baik kelasku hanya bermula pukul 3 petang nanti jadi boleh aku merehatkan minda dan cuba melupakan kejadian sebentar tadi seketika sebelum aku memulakan tugasanku.
Aku tersentak apabila Hadif tiba-tiba meletakkan secawan milo panas di atas mejaku kemudian menarik kerusinya rapat dengan mejaku.
            “Milo siapa ni?” Aku memegang cawan milo yang masih panas itu.
            “Dah aku letak atas meja kau, mestilah kau punya.” Jawap Hadif sambil melipatkan sedikit lengan bajunya.
            “Apa mimpi kau buatkan aku milo ni?”
            “Hai, takkan nak kena tunggu mimpi dulu baru boleh buat milo untuk kau. Ni yang nak merajuk ni.” Hadif mencebik bibir padaku. Aku tergelak kecil, aku tahu Hadif sengaja pura-pura merajuk. Terhibur juga hatiku sebentar dengan gelagat Hadif yang sentiasa ceria sepanjang masa.
            “Bukanlah macam tu maksud aku, kau ni sikit-sikit nak merajuk,” aku meletakkan kembali cawan berisi air milo itu di atas meja.
            “Eh Nysa! Hujung minggu ni, kau ada masa tak?” perlahan suara Hadif seolah-olah tidak mahu orang lain mendengar soalannya itu.
            “Kenapa?” Aku turut menurut rentak Hadif memperlahankan suara, sedangkan waktu itu tiada sesiapa yang berada di situ yang boleh mencuri dengar perbualan kami.
            “Jom temankan aku.” Hadif tersenyum kelat.
            “Kau nak pergi mana?”
            “Adik angkat aku kahwinlah, jomlah temankan aku, segan pula nak pergi seorang.”
            “Eh! Seganlah aku. Lagi pun tak sedaplah, kita pergi berdua aje, kan aku dah bertunang.” Ingatanku menjurus kepada Aqil semula. Keluhan terlepas lagi di bibirku bila mengenangkan lelaki itu.
            “Itu aku tahulah, apa kata kau bagi tahu tunang kau dulu, apa namanya… hah, Aqilkan, kau bagilah tahu dia dulu. Please Nysa, kali ni aje aku minta tolong. Please…”
Hadif mula merayu, rasa serba salah aku dibuatnya. Hadif telah banyak membantu aku semenjak  kali pertama aku bertugas di sini lagi. Tak kira apa saja bantuan yang aku perlukan, Hadif akan jadi orang pertama yang memberikan bantuannya padaku, sehingga kini dialah sahabat baikku di unversiti ini. Tidak mungkin aku menolak permintaan Hanif.
            “Aku tak janji, tapi aku akan cuba, okey.”
            Yes! Macam nilah kawan. Okey aku pergi kelas dulu ya. Terima kasih cik Nysa Sakinah. Jangan lupa minum milo tu, penat aku buat tau.” Hadif tersenyum lebar dan menarik kerusi kembali ke mejanya. Aku tergelak kecil melihat gelagat Hadif. Adakalanya tingkah laku Hadif benar-benar menyenangkan hati hawaku.

AKU MENGENAKAN baju kebaya berwarna ungu lembut, siap sahaja memakai  tudung, aku menaiki kereta menuju ke Putrajaya. Pelan ke rumah pengantin perempuan yang Hadif berikan beberapa hari yang lalu aku perhatikan teliti. Aku telah berjanji dengan Hadif untuk menemankannya, oleh yang demikian aku harus memenuhi janjiku pada Hadif walau pun tanpa pengetahuan Aqil.
Bukan sengaja aku enggan memberitahu Aqil, walaupun aku masih marah pada Aqil tentang kejadian tempoh hari tapi aku tetap cuba menghubunginya, aku tidak mahu membelakangkan Aqil dalam setiap perkara yang kulakukan namun Aqil yang tidak menjawab panggilanku setiap kali aku menghubunginya. Bukan hanya sekali dua aku menghubungi Aqil, hampir tiap-tiap hari aku menelefonnya untuk menyatakan tentang hal itu.
            Suasana di rumah pengantin amat meriah walau pun aku hanya melihat dari luar. Hadif segera berjalan ke arahku sebaik sahaja aku turun dari kereta.
            “Wah…Cantik hari ni, tapi kenapa lambat sangat?” Hadif kelihatan segak walau pun hanya mengenakan baju t-shirt ungu dan jeans hitam.
            Sorrylah, aku salah jalan tadi.” Aku menekan alat kawalan jauh untuk mengunci keretaku.
            “Itulah, aku ajak naik sekali dengan aku, kau tak nak. Takut sangat tunang marah.” Hadif mencebik bibirnya.
            “Bukan takut, tapi aku kenalah jaga hati tunang aku. Dengkilah tu.” Aku dan Hadif masih berdiri di tepi jalan besar kawasan perumahan di situ.
            “Alah, tak ada maknanya aku dengki, kalau kau cakap cemburu tu, adalah sikit.”
            “Dah! Kau jangan nak merepek, aku balik baru tahu.” Aku memberikan amaran atas kata-kata Hadif.
            “Alahai, nak bergurau pun tak boleh dah sekarang ni. Jomlah, aku dah kelaparan ni, dari pagi simpan perut.” Hadif mula mengosok-gosok perutnya.
Aku mengeleng kepala, malas mahu melayan gelagat Hadif yang seperti kanak-kanak itu. Aku dan Hadif jalan beriringan masuk ke dalam kawasan rumah pengantin, pemilihan kanopi dengan renda berwarna hijau pucuk pisang dan putih menyerikan lagi majlis perkahwinan itu. Aku tersenyum, terbayang saat-saat persandinganku nanti. Aku pernah menyatakan pada Aqil bahawa aku inginkan warna merah hati untuk baju persandingan dan tema perkahwinan kami nanti, tetapi Aqil lebih menyukai warna ungu, sehingga ke hari ini masih lagi tiada kata putus tentang hal itu.
            Selepas aku dibawa oleh Hadif bersalaman dengan pengantin, kami kemudiannya ke meja makan untuk menikmati hidangan yang disediakan. Majlis yang dihadiri oleh ramai tetamu yang diundang sedikit sebanyak melemaskanku, majlis itu tidak putus-putus menerima kunjungan. Aku duduk berhadapan dengan Hadif, makanan yang disediakan berjaya memikat selera Hadif, Hadif makan dengan penuh berselera.
            “Adik angkat kau kerja apa Dif?” Hadif menuangkan air cuci tangan untukku tanpa aku pinta.
            “Baru habis praktikal, bakal doktor tu.” Hadif masih meneruskan suapannya, namun sempat juga Hadif menghulurkan kotak berisi tisu kepadaku.
Aku mengambilnya dengan senyuman, Hadif seperti biasa tahu saja apa yang aku perlukan. Sementara menunggu Hadif selesai makan, aku membuang pandangan ke arah pasangan pengantin yang sedang sibuk berbual mesra dengan tetamu yang hadir. Kegembiraan terpancar pada wajah pasangan itu, bergelar raja sehari pastinya sesuatu yang membahagiakan. Aku juga akan melaluinya suatu hari nanti, perlahan hatiku berbisik.
            Aku memalingkan kepala apabila bahu disentuh. Betulkah apa yang sedang aku lihat kini. Aqil tersenyum padaku dan di sebelahnya berdiri seorang wanita yang kelihatan muda beberapa tahun dariku.
            “Hai Nysa, Boyfriend baru ke?”
Hadif yang sedang minum, tersedak mendengar ayat yang keluar dari mulut Aqil. Aku segera berdiri, jantungku berdegup kencang. Aqil selalu begitu, bila berbicara sedikit pun tidak pernah menjaga hatiku. Aku mula berasa malu pada Hadif.
            “Siapa ni?” Hadif kini turut berdiri sama sepertiku.
Aku harus memperkenalkan Aqil pada Hadif, tapi patutkah aku memberitahu kebenaran bahawa Aqil adalah tunangku setelah Aqil mengeluarkan kata-kata yang langsung tak masuk dek akal itu.
            “Ini Aqil.” hanya itu yang mampu aku perkatakan pada Hadif.
            “Aqil? Maksudnya, tunang kau.” Ujar Hadif yang sedikit terkejut mendengar kata-kataku tadi.
Aku mengangguk. Hadif pula segera menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Aqil. Aku sedikit lega apabila huluran tangan Hadif bersambut.
            “Hai, saya Hadif. Girlfriend baru ke?” Hadif tersenyum, kata-katanya seolah-olah mahu membalas dendam untukku. Wanita yang dari tadi tidak berganjak dari sisi Aqil memandangku. Aku pula hanya mampu tunduk di situ.
            “Wah, sedondon baju, macam pasangan pengantin pula.” Aqil tersenyum sinis memandang aku dan Hadif silih berganti.
Entah apa yang ada di fikiran Aqil, mungkin dia marah melihat aku bersama Hadif di situ tanpa pengetahuannya. Jika itu sebabnya dia berkata begitu, aku tahu itu semua salahku, namun kehadiran Aqil bersama wanita yang tidak pernah aku kenali itu juga mengundang amarahku. Kenapa di dalam setiap perkara hanya aku yang bersalah pada pandangan matanya.
            “Kalau ada jodoh, apa salahnya.” Hadif tidak mahu mengalah, satu persatu kata-kata Aqil cuba dibalasnya.
Keadaan yang tegang itu menyebabkan aku mengangkat kaki meninggalkan majlis itu tanpa sebarang kata pada Aqil mahupun pada Hadif. Kedengaran suara Hadif memanggil namaku beberapa kali dengan kuatnya, tetapi tidak Aqil. Entah mengapa saat ini aku mengharapkan Aqil yang memanggil dan mengejarku namun aku yakin Aqil tidak akan berbuat begitu. Aku tidak menghiraukan panggilan Hadif, apa yang aku tahu aku mahu segera beredar dari situ. Semuanya begitu merimaskan.

ALBUM yang memuatkan gambar-gambar kenangan sewaktu majlis pertunanganku aku selak satu persatu. Saat itu, rasanya akulah wanita yang paling bahagia dan bertuah kerana memiliki lelaki seperti Aqil. Kini gambar-gambar itu membuat aku berfikir semula, betulkah keputusanku menerima kembali Aqil dalam hidupku setelah cintaku ditolak dulu. Aqil memang sudah jauh berubah, Aqil yang aku kenal dulu bukanlah seorang yang mementingkan diri, Aqil yang aku kenal dulu sentiasa menjaga hati orang-orang di sekelilingnya. Apa sahaja yang Aqil lakukan pasti menyenangkan hati, tutur kata Aqil juga sudah jauh berbeza. Apa yang membuatkannya berubah sehingga sedemikian rupa, jawapan itulah yang harus aku dapatkan kini.
Aku bergegas menuju ke pintu sebaik sahaja mendengar loceng rumah berkali-kali berbunyi. Pintuku kuak sedikit melihat gerangan yang membunyikan loceng. Seorang wanita bercermin mata hitam menunggu di luar pintu pagar. Aku membuka luas pintu dan memberikan isyarat tangan agar wanita itu tunggu sebentar sementara aku segera ke atas mendapatkan tudung kepala dan kunci pagar.
            “Nysa Sakinahkan?” Wanita itu membuat pertanyaan sebaik sahaja aku membuka pagar.
            “Ya, saya. Ini cik Sara ke?” giliran aku memulangkan pertanyaan itu.
            “Ha’ah, saya Sara. Miza ada bagi tahukan?”
            “Ada, jomlah masuk.” aku  membantu Sara mengangkat bagasinya turun dari keretanya. Barang-barang yang dibawa oleh Sara tidak banyak, hanya dua buah bagasi besar. Mungkin betul kata Miza, Sara hanya menyewa untuk sementara waktu sahaja hingga kerja-kerja ubah suai rumahnya siap.
            “Jom masuk, cik Sara.”
            “Terima Kasih.” manis senyuman Sara, tahi lalat di bawah bibir menambahkan keayuannya. Seorang wanita yang tinggi lampai, berkulit putih dan rambut panjang beralun. Dengan kecantikannya itu, aku pasti  wanita itu sudah berpunya.
            “Panggil Nysa bolehkan?” tiba-tiba Sara meminta kebenaran.
            “Apa-apa pun tak apa, asalkan ada kena mengena Nysa Sakinah.” Aku membenarkan, membiarkan Sara mengikut keselesaannya.
            “ Umur Nysa berapa ya?”
            “26 tahun, cik Sara?” Aku duduk di sofa manakala Sara masih lagi berdiri memerhati sekeliling rumahku.
            “Tak payah nak ber ‘cik’ dengan saya, panggil Sara pun tak apa.” Lembut Sara melarang aku agar tidak terlalu formal dengannya.
“Umur Sara dah 30 tahun tau, jangan tak tahu.” Tambah Sara lagi.
Sara tergelak kecil melihat reaksiku yang agak terkejut. Sememangnya aku terkejut, wajah dan gayanya tidak menampakkan umurnya yang sebenar. Kalau Sara tidak beritahu umur sebenarnya, pasti aku menyangka paling tidak pun Sara sebaya denganku.
            “Terkenang nostalgia lama ke?” Sara terus duduk di sebelahku sambil matanya terus memandang album gambar yang terbuka luas di atas meja. “Boleh Sara Tengok?”
Aku mengangguk, membenarkan. Pantas Sara mengapai album gambar dari atas meja itu.
            Not Bad.” Luah Sara sambil tersenyum nipis.
Sedikit sebanyak aku berkecil hati dengan kata-kata yang keluar dari mulut Sara. Teruk sangatkah aku pada pandangan matanya sehingga kata-kata itu dihamburkan padaku. Mungkin aku tidak mempunyai pakej yang lengkap seperti dirinya dan aku sedar tentang hal itu.
            “Bila nak langsungkan perkahwinan?”
Kini aku mula mengukir senyuman, rasanya aku sendiri tiada jawapan untuk soalan itu, bahkan soalan itulah yang selalu aku fikirkan dan nantikan jawapannya.
            “Insya’allah.” aku segera bangun sebaik sahaja jawapan itu diberikan. Rasanya aku cuba lari dari soalan-soalan yang mungkin akan menjerat aku untuk menceritakan segala-galanya tentang perhubunganku dengan Aqil. Tidak! Aku tidak akan sekali-kali membiarkan orang tahu tentang apa yang sedang aku lalui kini. Biarlah aku selesaikan semuanya sendiri.
            “Nanti jangan lupa jemput” Sara akhinya menutup kesemua album gambarku dan menyerahkan semula padaku.
Aku mengambil album-album itu dan meletakkannya  kembali ke atas meja kopi di hadapanku. Telefon bimbitku yang aku harapkan berbunyi dari tadi hanya menyepi, ingin saja aku menghubungi Aqil saat ini namun ada sesuatu yang menghalang aku dari berbuat begitu.
Tiba-tiba sahaja rasa bersalah mula menyelubungi diriku. Aku berharap Hadif tidak marah padaku kerana meninggalkannya pada majlis perkahwinan itu. Ada kalanya kalanya kau rasakan seolah-olah Hadif lebih mengenali dan memahami diriku berbanding Aqil. Fikiranku memang tidak tenang sejak akhir-akhir ini, banyak perkara yang aku fikirkan. Alangkah bahagianya kalau aku tidak perlu melalui semua ini. Alangkah bahagianya…

Bersambung...