Semakin Jauh aku berlari, semakin cinta itu menjauh pergi. Lantas tidak lagi aku mengejar, kerana kau hanya bahagia bila kuberhenti~ Nysa Sakinah

Friday, 18 March 2011

Bab 5

LIMA
Habis almari pakaian aku selongkar semata-mata mencari baju yang sesuai untuk dipakai pada malam nanti. Rasanya hampir semua baju yang tadinya tergantung kemas pada penyangkut baju kini bergelimpangan di atas katil. Walaupun hanya kenduri kesyukuran tapi aku tetap mahu kelihatan cantik lebih-lebih lagi di mata Aqil. Akhirnya aku memilih baju kurung johor berwarna putih dan berbunga mawar biru. Aku memilih untuk menggenakan tudung biru muda yang kurasakan amat sesuai dengan baju yang telah kupilih.
Sejak menerima undangan daripada Ibu Aqil, hatiku jadi tidak keruan. Itulah rasa yang sering aku alami bila ianya berkaitan dengan Aqil. Jantungku pasti berdegup selaju mungkin. Itulah aura cinta Aqil yang telah terpalit di jiwaku.
“Amboi Nysa iron baju nak kemana?”  Sara menyapaku dari belakang. Entah bila dia masuk ke dalam bilikku tidak pula aku sedar.
“Kenduri rumah parent Aqil.” Jawabku sambil mengantungkan semula baju yang telah siapku gosok pada penyangkut pakaian.
“Oh, nak pergi rumah bakal mertua rupanya, patutlah bersemangat waja.” Ujar Sara sambil tergelak kecil dan dia mula duduk bersila di atas katilku.
“Pandai-pandai aje!” Aku turut sama tergelak kecil.
You bila nak kahwin? Kalau tak silap I dah dekat dua tahun you bertunangkan?” Sara mula menarik bantal yang telah aku susun kemas.
Sara mula membangkitkan isu yang aku sendiri tidak dapat menjawabnya. Aku sendiri tiada jawapan dan jawapan itulah yang aku tunggu dari Aqil selama ini.
“Entahlah, tapi yang pastinya bila-bila masa pun perkahwinan kitaorang boleh berlangsung.” Hanya itu jawapan yang boleh aku berikan. Moga-moga Sara tidak bertanya lanjut tentang itu. Bukannya aku tidak suka, tapi lebih banyak pertanyaan dan persoalan yang timbul tentang perkahwinanku, lebih besar rasa kecewa yang bersarang di hatiku.
Sehingga ke hari ini, Aqil masih enggan menetapkam tarikh perkahwinan kami. Katanya dia belum bersedia. Tapi padaku, seolah-olah ada batu penghalang yang berada di hadapannya sehinggakan dia tidak mampu untuk berbuat apa-apapun. Namun aku tetap akan menanti hari itu tiba. Aku telah lama menanti dan aku tidak akan jemu untuk terus menanti detik bahagia itu.
I hope so!” Kata Sara penuh dengan rasa simpati padaku.

SENGAJA aku tiba awal di rumah orang tua Aqil, niatku ikhlas moga-moga kehadiranku sedikit sebanyak dapat membantu  apa-apa yang perlu. Segera aku dapatkan ibu Aqil sebaik sahaja melangkah masuk. Wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu kelihatan gembira dengan kehadiranku.
            “Apa yang boleh Nysa tolong?” tanyaku ikhlas, kelihatan beberapa kaum wanita yang sedang sibuk di dapur semuanya hampir sebaya dengan umur ibu Aqil.
            “Kat dapur ni dah cukup dah orang yang membantu. Nysa duduk kat depan ajelah.” Ibu Aqil mengalihkan beberapa dulang yang menganggu jalan.
            “Seganlah Nysa macam ni mak cik.” Bisikku perlahan di telinganya kemudian wanita itu tersenyum lagi.
            “ Nak segan apa pulak. Nysa dah dikira sebahagian daripada keluarga ni tau. Tapi kalau Nysa nak tolong juga, apa kata Nysa naik atas, masuk dalam bilik Aqil, tolong ambilkan surah Yassin dalam kotak atas almari, boleh?” Ibu Aqil memegang tanganku. Kata-katanya membuatkan aku semakin selesa di situ.
            “ Bilik Abang Aqil? Abang Aqil tak ada ke makcik?” Aku kembali bertanya. Baru aku perasan sejak aku sampai Aqil langsung tidak kelihatan.
            “ Aqil balik lewat sikit. Insya’Allah sebelum majlis mula baliklah tu nanti.”
            Aku mengangguk mengerti akan penjelasannya. Sebagai seorang doktor aku tahu tugas Aqil tidak mengira masa, khidmat baktinya sentiasa diperlukan dan aku berbangga dengan itu.
            Sampai sahaja di tingkat atas rumah teres itu aku menolak perlahan pintu bilik Aqil. Aku yakin itu biliknya, bilik paling hujung seperti yang diberitahu oleh ibunya. Bilik itu agak luas, aku yang memerlukan cahaya mula memetik suis lampu. Biliknya begitu kemas sekali, tidak aku sangka. Dapat aku rasakan betapa Aqil menggemari warna ungu. Melihatkan cat dan wallpaper yang bertemakan ungu. Begitu juga halnya dengan cadar katil. Aku tersenyum sendiri. Jarang lelaki mengemari warna ungu, warna lembut itu selalunya disukai oleh wanita sahaja. Lain pula halnya dengan Aqil, namun ianya tetap tidak salah, mungkin itu citarasanya. Tiba-tiba sahaja aku teringatkan peristiwa semasa di kenduri perkahwinan adik angkat Hadif tempoh hari. Kini baru aku mengerti mengapa dia kelihatan marah melihat aku dan Hadif berpakaian ungu sedondon.
            “ Oh, favorite colour rupanya.” Dan kali ini aku tersenyum lagi.
            Aku bergerak menghampiri almari. Kelihatan beberapa buah kotak tersusun di atas almari itu. Aku kemudian menarik kerusi daripada meja komputer. Kerusi itu aku panjat penuh berhati-hati. Kotak yang berwarna hitam aku bawa turun dan kuletakkan di atas katil.
            “Bukan.” Aku menutup kembali kotak hitam tersebut apabila melihat isinya bukan seperti apa yang aku cari. Kini aku kembali memanjat kerusi semula. Kotak berwarna hitam seterusnya aku turunkan.
            “ Ini pun dia.” Aku mengeluarkan kesemua surah Yaasin yang tersimpan di dalam kotak itu. Kukira hampir 20 buah buku kesemuanya. Selesai mengeluarkan keperluan itu, aku menutup semula kotak itu. Namun kemudiannya aku membukanya kembali. Ada sesuatu yang menarik perhatianku. Seakan aku kenal dengan beberapa bungkusan di dalam kotak itu. Untuk kepastian, aku mengambil keluar bungkusan yang aku maksudkan. Aku mengeluh kecil. Ya! Itu semua hadiah pemberianku di hari lahir Aqil. Walaupun pernah Aqil nyatakan sebelum ini, tapi entah kenapa aku tetap berasa sedih melihat hadiah yang tidak langsung dibuka bungkusannya. Ternyata, usahaku untuk menambat dan semakin dekat dihatinya gagal sama sekali. Tidakkah ada rasa ingin tahu dalam dirinya tentang apa yang aku hadiahkan untuknya sepanjang aku bergelar tunangnya? Tahukah dia betapa sukarnya untuk aku memikirkan hadiah yang terbaik semata-mata untuk dirinya?
            Rasa tidak puas hati makin berbekam di jiwa. Kini aku melihat pula kotak kecil berwarna ungu yang turut sama ada di dalam kotak itu. Aku keluarkan kotak itu dan membukanya. Aku yakin, pasti aku akan menemui sesuatu. Sekurang-kurangnya aku inginkan jawapan di atas sikap aneh Aqil selepas bergelar tunangku. Kelakuannya yang menyebabkan aku sering tertanya-tanya apakah yang berlaku sebenarnya? Ada sebuah sampul surat di dalam kotak ungu itu. Hatiku jadi berbelah bagi, haruskah sampul itu aku buka? Melihatkan luarnya, surat itu pastinya kiriman dari luar negara. Perasaan ingin tahu semakin memberontak. Naluriku ingin sekali mengetahui isi kandungannya tetapi hati menghalang. Namun jari jemariku menongkah kata hati dan dengan pantas membuka sampul itu. Tiada sebarang surat dalam sampul itu melainkan sekeping kad kecil berbentuk hati. Yang peliknya tiada sebarang ucapan di atasnya melainkan catatan yang tidak aku fahami.
Your id   : IshNly@yahoo.com
Your password   : myluvlily
I’m waiting for u…

“Jumpa Nysa?” Suara ibu Aqil memeranjatkanku. Aku segera memasukkan kembali kad itu ke dalam sampulnya.
“Jumpa makcik!” Jeritku dari dalam bilik Aqil. Semua barang yang telah aku keluarkan, aku masukkan kembali ke dalam kotak kecuali sampul surat tadi. Aku ingin menyimpannya kerana dapat aku rasakan ada perkara yang perlu aku ketahui. Terasa seperti aku semakin hampir dengan jawapan yang aku perlukan selama ini.

TETAMU mula beransur pulang, aku pula membasuh pingan, membantu apa yang perlu di dapur. Ibu Aqil sedang rancak berbual bersama beberapa lagi saudara mara yang lain. Kenduri doa selamat yang diadakan sebagai tanda kesyukuran ayah Aqil kembali sihat seperti sedia kala berjalan dengan lancar. Namun aliran darahku rasanya tidak selancar majlis itu, lebih-lebih lagi selepas keluar dari bilik Aqil.
            Ibu dan ayahku sudah berangkat pulang selesai sahaja majlis kesyukuran itu. Aku cuma sempat mengahantar orang tuaku di muka pintu kerana membantu mengemas. Namun sempat juga mereka menasihatkan agar aku tidak pulang terlalu lewat. Aku tahu mereka amat risaukan tentang diriku.
            Hampir pukul 11.30 malam, barulah aku dan yang lain selesai mengemas. Pinggan mangkuk yang siap dicuci, aku susun kemas di atas surat khabar yang dibentangkan di permukaan lantai. Begitu juga dengan periuk-periuk yang tadinya sarat dengan lauk-pauk.
            “Makcik Nysa balik dulu ya.” Aku melurutkan kembali lengan bajuku yang tadinya aku singsing bagi mengelakkkan basah. Sempat juga mataku melirik pada Aqil yang sedang asyik menggulung tikar. Dari awal ketibaanku, baru kini aku dapat melihat lelaki itu. Aqil sedikit pun tidak menoleh ke arahku, malah dia meneruskan kerjanya seolah-olah tiada sesiapa di ruang tamu itu.
            “Dah lewat sangat ni, Nysa tak takut nak drive ke?” kata-kata ibu Aqil itu sedikit sebanyak melemahkan semangatku.
            “Tak apa makcik, bila lagi nak merasa drive waktu malam.” Aku cuba memujuk kerisauanku sendiri. Memang ada gentar dijiwaku. Tapi aku tahu, aku harus melawan rasa takut itu.
            “Suruh Aqil hantar ajelah.”
            Aku tersentak mendengar cadangan itu. Tidak! Aku tidak mahu menyusahkan Aqil. Aku mampu pulang sendirian tanpa ditemani sesiapa.
            “Aqil, tolong hantarkan Nysa balik!” Teriak ibu Aqil sebelum sempat aku membantah.
Aqil memberhentikan tugasnya dan terus berjalan menghampiri kami. Dari riak air mukanya, dapat aku lihat wajah kepenatan. Aku mula dihantui rasa bersalah, gara-garaku Aqil masih tidak dapat merehatkan dirinya walaupun sepatutnya dia sudah boleh beristirehat sebaik sahaja kerja-kerja menggulung tikar selesai.
            “Tak apalah makcik, Nysa boleh balik sendiri. Biarlah abang Aqil rehat, dari pagi kerja tentu letih.” Pantas aku menolak cadangan itu. Tidak mahu Aqil bersusah payah untukku.
            “Makcik tak benarkan Nysa balik seorang diri. Kalau tak nak Aqil temankan apa kata Nysa tidur sini saja?”
            Aku memandang Aqil yang bercekak pingang di sebelah ibunya. Mana mungkin aku tidur di rumah itu. Pasti tidak manis jika diketahui oleh saudara mara Aqil yang lain walaupun aku adalah tunangnya. Aku berfikir sejenak, mencari jalan penyelesaian.
            “Tak payah fikir-fikirlah Nysa, tidur sini ajelah.”
            Aqil bergerak meninggalkan kami sebaik sahaja ayat itu keluar daripada mulut ibunya, seolah-olah dia juga menyetujuinya. Tapi aku masih berkira-kira dan akhirnya aku berkeputusan untuk pulang sahaja ke rumahku.
            “Tak apalah makcik lain kali ajelah Nysa tidur sini. Lagipun Nysa ada kerja kat rumah tu.” Aku menolak pelawaan murni ibu Aqil sebaik-baiknya, tidak mahu dia berkecil hati.
            “Ikut suka Nysalah, tapi Aqil hantarkan ya. Aqil hantar Nysa balik sekarang.”
            Belum sempat aku menyatakan hasratku untuk pulang sendirian ibu Aqil terlebih dahulu telah memberikan arahan kepada Aqil untuk menghantarku pulang. Aqil berpatah balik apabila mendengar panggilan ibunya dan kini kulihat mukanya masam mencuka.
            “Jadi, boleh kita gerak sekarang tuan puteri?” Aqil memandangku tajam.
            Aku segera bersalaman dengan ibu Aqil dan bergegas mendapatkan beg tanganku sebelum melangkah keluar. Aqil menekan alat kawalan jauh keretanya. Aku memberhentikan langkah melihat tindakan Aqil. Mana mungkin aku pulang dengan menaiki keretanya, jadi bagaimana dengan keretaku?
            “Naik kereta Abang Aqil ke?” Aku bertanya.
            “Habis tu, Nysa nak suruh abang hantar Nysa naik apa? Kapal terbang?”
            Mendengar kata dan nada suaranya itu aku tahu yang dirinya dalam keadaan marah. Mungkin betul tekaanku, pasti Aqil melihat diriku sebagai beban yang menyusahkannya. Walau hatiku sedih mendengarnya, aku tetap cuba mengukir senyum yang kutahu ternyata hambar.
            “Tiket flight pun dah tak ada rasanya. Tak apalah, Nysa drive sendiri. Lagipun kereta Nysa ada kat depan sana. Nysa datang sini cuma nak membantu, tak ada niat pun nak susahkan sesiapa.” Jelasku mengharapkan pengertian daripadanya. “Nysa balik dulu, assalamualaikum.” Hayunan kaki aku percepatkan menuju ke arah kereta yang aku letakkan tidak jauh dari rumahnya. Hatiku menangis sendiri. Rasa takut tidak lagi kurasa, yang ada kini cuma rasa hati yang terluka dengan sikapnya.
            “Nysa, tunggu!” Jeritan Aqil memberhentikan pergerakkanku. Biarpun kakiku sedikitpun tidak lagi berganjak namun aku tidak sesekali menoleh kearahnya.
            Call abang bila sampai nanti!”
            Aku meneruskan perjalanan sebaik sahaja Aqil selesai berbicara. Permintaannya itu tidak akan aku tunaikan. Untuk apa aku menghubunginya? Supaya aku akan terus dianggap menyusahkan kerana menganggu tidurnya pula? Cukup! Aku tidak mahu menjadi beban Aqil. Itu bukan janji yang aku buat pada hari aku bergelar tunangnya. Janjiku hanya ingin membahagiakannya, bukan meletak batu beban dibahunya.

           Bersambung...



2 comments: