Semakin Jauh aku berlari, semakin cinta itu menjauh pergi. Lantas tidak lagi aku mengejar, kerana kau hanya bahagia bila kuberhenti~ Nysa Sakinah

Thursday, 17 March 2011

Bab 1

SATU
            Aku menutup pintu bilikku perlahan, kemudian aku melangkah  menuju ke jendela yang menyajikan pemandangan taman permainan kanak-kanak. Kulempar pandangan kosong ke arah taman yang kini diterangi cahaya lampu jalan itu. Masalah yang sama datang lagi dan nampaknya kali ini aku sudah tidak mampu untuk melarikan diri. Sejak mendapat panggilan dari orang tuaku semalam, aku sudah mula rasa tidak sedap hati. Seperti yang dipinta ayah, aku pulang ke rumah petang itu setelah selesai segala tugasanku di universiti.
Seperti yang aku jangka, sekali lagi aku menerima berita tentang lamaran yang dibawa untukku. Kali ini, lamaran itu datangnya dari keluarga kawan rapat ayahku yang telah lama terpisah. Ini membuatkan aku bertambah runsing. Kalau diikutkan dari kata ayah semasa menyampaikan berita lamaran itu padaku selepas solat Isyak tadi, aku yakin bahawa kali ini pasti aku tidak dapat menolak lamaran itu.
Mungkin ini takdir yang tertulis untukku. Bukan sengaja aku mahu melarikan diri dari ikatan perkahwinan, malah aku sedar bahawa rakan-rakan yang sebaya denganku juga rata-ratanya telah memiliki keluarga sendiri. Namun ada beban dihatiku yang masih belum dapat aku lepaskan dengan sepenuhnya. Ada satu nama yang masih belum dapat aku padam dan hingga ke saat ini, nama itu masih utuh bertakhta di ruangan hatiku biarpun hal itu sudah tujuh tahun berlalu.
            Bunyi ketukan pintu mematikan lamunan ku. Aku kembali menutup jendela dan segera membuka pintu bilikku yang sengajaku kunci. Ibu tersenyum ke arahku, senyuman yang sukar untukku mengertikan. Mungkin senyuman tu penuh dengan kegembiraan kerana khabar ‘gembira’ itu atau mungkin senyuman itu penuh dengan rasa simpati terhadap diriku. Namun aku yakin ibu faham perasaanku kini.
“Tak tidur lagi ?”
“Belum mengantuk bu.” Aku menutup rapat pintu bilik setelah ibu melangkah masuk.
“Nysa jangan banyak fikir. Kalau Nysa tak setuju, bagi tahu aje pada ayah. Ibu takkan paksa Nysa. Ingat! Nysa yang kena tentukan hidup Nysa sendiri.”
“Tak apalah bu, betul juga apa yang ayah buat tu. Ayah dah banyak kali runsing sebab Nysa. Nysa tak nak susahkan ayah lagi. Kali ni biarlah Nysa dengar cakap ayah pula.” Aku lemparkan senyuman kosong ke arah ibu. Apa yang aku perkatakan pada ibu itu tidak sedikit pun lahir dari hatiku yang ikhlas. Semuanya aku reka bagi menyedapkan hati orang tuaku. Aku juga berharap agar ibu menyampaikannya pada ayah, mudah-mudahan ayah akan berlembut hati dan merubah fikirannya untuk menerima lamaran itu apabila mendengarnya nanti.
“Terpulanglah pada Nysa. Ibu cuma nak yang terbaik dalam hidup Nysa, kalau itu dah keputusan Nysa, ibu takkan bantah,” Ibu sempat memegang tanganku sebelum melangkah keluar dari kamar.
Aku melihat jam di atas meja sisi katil, sudah pukul 10.33 minit malam. Biasanya waktu-waktu begini, mataku sudah mula mengantuk tetapi tidak hari ini. Malam ini dan malam-malam seterusya pasti tidurku tidak selena selalu. Aku pasti.

SELESAI sahaja menunaikan solat subuh pagi itu aku segera turun ke dapur membantu ibu menyediakan sarapan pagi. Kulihat ayah sudah pun berada di ruang tamu membaca akhbar Kosmo. Sedikit pun ayah tidak menoleh ke arahku sewaktu aku turun melalui tangga. Mungkin ibu sudah menceritakan perihalku semalam dan seterusnya membuatkan ayah marah padaku. Namun aku tidak kisah semua itu asalkan aku terselamat dari perkahwinan yang tidak aku harapkan. Aku sudah biasa melaluinya, ini bukan kali pertama aku menolak lamaran yang datang padaku, sudah kali ketiga. Aku tersenyum sendiri, nampaknya masalahku sudah selesai.
            Hidangan nasi goreng kampung pada pagi itu benar-benar membuka seleraku. Hampir tiga minggu tidak merasa masakan ibu gara-gara sibuk dengan urusan kerjaku di universiti. Peperiksaan akhir semester yang bakal diduduki oleh pelajar-pelajarku membuatkan aku tiada masa untuk pulang ke rumah orang tua ku. Pelbagai urusan harus aku lakukan. Menyediakan kertas soalan sudah menjadi tanggungjawabku, itu belum lagi termasuk kerja-kerja menanda assignment yang menimbun-nimbun memenuhi kotak di mejaku. Tanggungjawab sebagai seorang pensyarah bukan satu tugasan yang mudah, namun itu sudah menjadi minatku sejak kecil lagi. Oleh yang demikian kewajipan sebagai pendidik itu harus aku penuhi dengan penuh dedikasi.
“Bila Nysa boleh cuti?” Ayah menuang air kopi panas itu ke dalam cawannya.
“Cuti?” Aku tersenyum lagi. Ayahku bersuara juga akhirnya.
“Ye lah… Cuti! Kamu tu kalau dah kerja mana ingat nak cuti lagi.”
“Lepas budak-budak habis Examlah ayah. Kenapa? Nak pergi bercuti ke?”  Aku teruja bertanya pada ayah.
“Isyh… kamu ni Nysa, bercuti apa bendanya pula. Ayah nak tetapkan tarikh pertunangan kamulah. Ibu kamu cakap semalam, kamu dah setuju.”
Aku terkesima seketika. Tidak tertelan rasanya nasi yang baru sahaja mahu melepasi tekakku. Aku memandang ibu yang mula sibuk mengemaskan pinggan-pinggan yang sudah digunakan dan segera meninggalkan meja makan. Aku tahu, pasti ibu sengaja mahu aku berbicara berdua sahaja dengan ayah.
            “Ha! Kenapa diam pula ni? Jangan cakap dengan ayah yang kamu dah ubah fikiran.” Tajam ayah memandang ke arahku. Aku menarik nafas panjang, mencari kekuatan. Tidak tahu apa yang perlu aku lakukan saat itu. Menolak lamaran itu? Ternyata aku cari nahas.
            “Terpulanglah pada ayah, Nysa ikut aje.” Aku merenung nasi goreng yang masih berbaki di dalam pingganku. Tertutup seleraku untuk meneruskan suapan.
            “Kalau macam tu, ayah nak Nysa jumpa dulu dengan anak kawan ayah tu.” Ayah meneruskan rancangannya. Aku pula hanya mampu mengikuti agenda yang pastinya telah diatur untukku. Tiada lagi alasan untuk melepaskan diri.
            “Bila?”
            “Minggu depan, boleh?”
            “Ikut suka ayahlah.” Aku bangun lantas membawa pingganku ke dapur. Ayah tersenyum, terpamer kegembiraan di wajahnya. Tapi tahukah dia hatiku kini sedang menangis?

PETANG Ahad itu aku berangkat pulang ke rumah sewaku. Lokasi kerja yang jauh menyebabkan aku terpaksa tinggal berasingan dengan orang tuaku. Perjalanan dari Kepong menuju ke Universiti Kuala Lumpur sememangnya memakan masa. Oleh yang demikian aku duduk menyewa bersama  seorang lagi rakan di Taman Melati.
            “Nanti ayah suruh dia contact kamu.”
Contact aku? siapa?. Kata-kata ayah sewaktu aku bersalaman dengannya menyebabkan aku keliru. “Siapa ayah?”
            “Siapa lagi, bakal tunang kamulah.”
            “Nysa balik dulu, Assalamualaikum.” Aku lantas menaiki Proton Gen2 milikku sejurus selepas bersalaman dengan ibu. Malas rasanya mendengar agenda seterusnya dari ayah. Dari semalam sampai ke saat ini tak habis-habis bercerita tentang majlis perkahwinan ku nanti, padahal aku belum pun bertunang.

AKU berlari bergegas mendapatkan telefon bimbitku yang aku letakkan di atas meja solek di dalam bilik. Seperti biasa, belum sempat aku menjawab panggilan tersebut talian telah pun terputus. Aku membebel sendiri, dari pagi tadi hinggalah ke lewat malam begini panggilan misteri itu terus menggangguku. Rasanya dah berbakul-bakul marahku pada panggilan itu.
            ‘Ish…buat penat lari aje. Menyampah betullah.’ Aku kembali meletakkan telefon bimbit di atas meja solek. Niat untuk menyambung tontonan Halaqah tidak aku teruskan sebaliknya aku terus sahaja mencampakkan diri di atas katil, berat pula rasa mata. Baru sahaja aku mahu melelapkan mata, telefon bimbitku berbunyi sekali lagi. Yakin bahawa panggilan itu tidak lain dan tidak  bukan panggilan misteri yang menggangguku sejak pagi tadi, lantas aku pekakkan telinga. Tidak berminat melayan panggilan sebegitu. Namun kesabaranku tercabar apabila deringan telefon bimbitku masih tidak berhenti walaupun telah lama aku membiarkan panggilan itu tidak berjawab.
            “Assalamualaikum…” Perlahan suaraku yang masih mamai ketika itu.
            “Wa’alaikumusalam… Nysa tak tidur lagi?”
Berderau darahku mendengar suara itu. Suaranya mengingatkan aku pada… ahrg… tak mungkin. Pasti perasaanku sahaja, serta merta mataku menjadi segar. “Siapa ni?”
            Cuba teka?”
            “Awak jangan main-main?”
            “Siapa yang main-main?”
            “Hello... boleh tolong serius tak? Awak ni siapa? Cari siapa?” Soalku yang  semakin geram dengan lelaki yang berada di hujung talian yang seolah-olah cuba mempermainkan diriku. 
            “Hello… saya seriuslah ni. Saya nak cari awaklah. Kenapa? Tak percaya?”
Aku terdiam mendengar kata-katanya. Siapa dia? Ahrg… serabut fikiranku memikirkannya.
            “Nysa dah tak cam suara abang?”
            “Abang?”
            “Ha’ah… abang!”
            “Abang mana pula ni! Awak ni siapa sebenarnya, bila masa pula saya ada abang?” Bentakku.
            “Masa kat universiti dulu! Nysa tak ingat?”
            “ Aqil?” Degup jantung ku bertambah laju bila nama itu terpacul keluar dari mulutku.
            “Hah… ingat pun! Abang Aqillah ni. Takkan dah lupa abang kot? Tak sampai pun sepuluh tahun dah lupa kat abang.”
            Terkunci langsung mulutku waktu itu, tidak dapat berkata apa-apa. Mimpikah aku? “Mana abang dapat nombor Nysa ni?” Hanya itu yang ingin aku tahu saat ini.
            “Abang carilah. Kalau cari mesti jumpa kan!” Lembut tutur katanya masih sama seperti dulu, sikit pun tidak berubah.
            “Nysa apa khabar?”
            “Alhamdulillah, baik. Abang Aqil?”
            “Kurang baik…”
            “Kurang baik! Maksud abang Aqil?”
            “Tak ada apa… saja aje. Kenapa, Nysa risau ke?. Nysa… Nysa… dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis risaukan abang. Nysa macam mana?”
            “Macam mana apa?” Keliru aku mendengarkan persoalannya.
            “Maksud abang, macam mana Nysa sekarang ni?”
            “Macam dulu, sama aje. Sikit pun tak berubah. Abang Aqil pula dah berapa orang anak sekarang?” Sebenarnya berat untuk aku menanyakan soalan itu, tapi aku harus kuat. Aku harus buktikan padanya bahawa Nysa Sakinah  masih kuat walaupun pernah dilukakan hatinya.
            “Anak? Erm…. dua. Satu anak tekak, satu lagi anak mata.” Terdengar ketawanya.
            “Nysa serius ni.”
            “Abang pun.” Masih kedengaran tawanya. “Apalah Nysa ni. Abang ni kahwin pun belum, macam mana nak ada anak.”
Berita yang baruku dengar ini benar-benar memeranjatkanku. Aku berfikir sejenak, rasanya dua tahun lalu aku ada juga terdengar berita tentang perkahwinan Aqil dengan gadis pilhannya dari kawan-kawan sekampusku. Tapi apa yang aku dengar kini nyata berbeza. Aku semakin keliru.
            “Bukan ke abang Aqil dah kahwin?”    
            “Bila?”
            “Dua tahun lepaskan?” Aku melemparkan pertanyaan yang aku inginkan jawapannya.
            “Tak jadi.”  Ringkas jawapan dari Aqil.
            “Kenapa?”
            “Dah lepas, tak payah ceritalah.” Perlahan suara Aqil ketika itu.
            “Sekarang macam mana?”
            “Sekarang abang tengah tunggu Nysalah.”
Hampir luluh jantungku mendengar kata-kata Aqil. Benarkah kata-katanya itu? Ahrg… aku tidak sepatutnya menaruh harapan lagi. Cukuplah cintaku pernah ditolak olehnya dulu. Cukup! cukup untuk sekali, lagipun aku akan bertunang tidak lama lagi.
            “Kenapa tunggu Nysa pula?”
            “Sebab Nysa tunggu abang.”
Tidak! kenapa dia masih mengungkit kisah dahulu. Aku harus jelaskan segalanya kepadanya. Aku tidak mahu dia beranggapan bahawa selama ini aku masih menaruh harapan pada dirinya.
            “Bila masa pula Nysa tunggu abang Aqil? Nysa pun dah nak bertunang dah ni. Bila tar   ikh dah betul-betul tetap, Nysa bagi tahu kat abang Aqil. Abang Aqil kena dating tau.” Hah… puas hati aku, aku perlu yakinkan padanya yang aku tidak pernah berharap pada dirinya lagi.
            “Abang tumpang gembira. Abang yakin, pakwe Nysa tu mesti kacak macam abangkan?”
            No comment.” Jawabku ringkas.
            “Takpalah Nysa, kita jumpa nanti ye. Selamat malam.”
            Aqil mematikan taliannya begitu sahaja. Gundah hatiku memikirkan itu. Kenapa dia muncul semula saat-saat aku diheret ke ambang perkahwinan. Kenapa tidak dari dulu dia muncul mencariku andai benar kini dia tidak lagi bersama wanita itu.
Ah!!!... Farish Aqil! kenapa bukan aku yang bertakhta di hatimu terlebih dahulu? Aku kembali memejamkan mata, namun ternyata sia-sia. Tiada lagi ketenangan dalam tidurku.

Bersambung...



No comments:

Post a Comment