EMPAT
Aku bergegas menuju ke Hospital Ampang Puteri sebaik sahaja menerima panggilan daripada ayah. Tanpa pengetahuanku rupa-rupanya ayah Aqil sudah dua hari ditahan di wad akibat sesak nafas. Aqil langsung tidak pernah memaklumkan padaku tentang hal itu. Aku terpaksa membatalkan dua kelasku pada petang itu dan menggantikannya pada hari yang lain demi menjenguk bakal bapa mertuaku. Rasa marah pula pada Aqil saat ini, susah sangatkah untuk dia memaklumkanku tentang keadaan ayahnya. Sekiranya dia tidak mahu menghubungiku sekurang-kurangnya dia boleh mengirimkan pesanan ringkas.
Aku mengetuk pintu sebelum memulas perlahan tombol pintu wad, bilik dimana ayah Aqil ditempatkan. Salam kuberikan beserta senyuman sebaik sahaja aku melangkah masuk. Ayah dan ibu Aqil membalas senyumanku itu. Aku terus mendapatkan ibu Aqil dan bersalaman dengannya.
“Pakcik macam mana?” aku meletakkan bakul berisi buah-buahan yang sempatku beli tadi di atas meja kecil di sebelah katil. Perlahan-lahan ayah Aqil cuba bangun untuk duduk di katil itu sambil dibantu oleh ibu Aqil. Sebak pula rasa hatiku melihat keadaan Ayah Aqil. Mukanya sedikit pucat namun dia kelihatan bersemangat dan sering tersenyum.
“Alhamdulillah pakcik dah sihat sikit ni. Nysa tak kerja ke hari ni?”
“Separuh hari aje pakcik. Lepas ayah call Nysa masa lunch tadi, terus Nysa minta kebenaran pihak pengurusan nak jenguk Pakcik,” aku melabuhkan diri, duduk di sofa yang tersedia di dalam bilik itu.
“Oh… patutlah sebelum ni Nysa tak datang jenguk pakcik. Pakcik ingatkan Aqil dah bagi tahu Nysa.”
Aku menundukkan sedikit wajahku setelah mendengar kata-kata ayah Aqil.
“Mungkin Aqil terlupa, Nysa jangan kecik hati pula. Aqil memang macam tu, kalau dah kerja satu apa pun tak ingat lagi,” ibu Aqil cuba meyakinkanku. Aku pula cuma mampu mengangguk-angguk, membenarkan kata-katanya.
“Assalamualaikum.”
Degup jantungku mula bergerak pantas mendengar suara itu. Seraya itu aku memalingkan muka pada pintu masuk. Aqil melangkah masuk bersama seorang wanita disisinya. Ya, aku yakin. Wanita itu adalah wanita yang sama yang menenami Aqil di majlis perkahwinan adik angkat Hadif tempoh hari. Rasa sedih dan kecewa menyerang tiba-tiba, ingin sahaja aku meninggalkan bilik itu. Aqil sedikit pun tidak menoleh ke arahku, dirinya sibuk memperkenalkan wanita itu kepada kedua orang tuanya.
Melihatkan keadaan itu, aku terus bangun dari sofa dengan harapan Aqil menyedari kehadiranku di situ. Paling tidak pun aku mengharapkan senyuman dari Aqil, satu-satunya lelaki yang aku rindui. Wanita itu bersalaman dengan kedua orang tua Aqil, ramah orangnya sehinggakan di kalangan meraka, akulah yang kelihatan sepeti orang asing. Kedua ibu bapa Aqil turut melayan mesra wanita itu.
Shafiza, siapa pula wanita ini dalam hidup Aqil. Runsing kepalaku memikirkannya. Mungkinkan wanita ini yang menjadi sebab utama kedinginan sikap Aqil kepadaku? Aku tidak ingin tahu apa yang berlaku di antara Aqil dengan wanita itu dan apa perhubungan mereka berdua. Apa yang aku ingin lakukan kini ialah segera beredar dari situ. Biarlah, mungkin aku tiba pada waktu yang tidak sesuai. Aku akhirnya berkeputusan meninggalkan mereka semua.
“Makcik, pakcik, Nysa balik dulu ya.” Ibu dan Ayah Aqil sedikit terkejut apabila aku minta izin untuk mengundur diri pada saat itu.
“Nysa nak balik dah, cepatnya?” Ibu Aqil mula bangun daripada duduknya apabila tangan aku hulurkan untuk bersalaman dengannya.
“Nysa lupa pula Nysa ada temujanji dengan kawan. Insya’allah nanti Nysa datang lagi.” Aku mencipta alasan semata-mata ingin segera keluar dari bilik itu. Tidak rela melihat Aqil bersama wanita lain.
“Kirim salam pada mak dan ayah ya,” perlahan suara ayah Aqil kedengaran.
“Insya’allah pak cik! Saya balik dulu, assalamualaikum.”
Perlahan langkahku menuju ke muka pintu dan kemudiannya terus beredar dari situ. Aqil, langsung dia tidak berminat tentang hidupku saat ini. Dia hanya mendiamkan diri bersama wanita yang ada di sisinya itu. Mungkin dia mahu menjaga hati wanita itu, hati tidak henti-henti membuat andaian yang hanya menyeret aku ke gerbang duka. Setitis demi setitis air mata ini mula menitis dan semakin lama titisan ini menjadi tangisan yang tidak mampu lagi untukku tahan. Lantas kubiarkan sahaja air mata ini terus mengalir.
Dari jauh kedengaran suara yang memanggil kuat namaku. Aku kenal benar dengan suara itu, siapa lagi kalau bukan Aqil. Aku sedikit pun tidak menoleh ke belakang, gusar kalau-kalau Aqil melihat tangisanku ini. Aku tidak mahu kelihatan terlalu lemah di hadapannya, jadi aku pura-pura tidak dengar akan panggilannya. Aku melangkah laju mendapatkan keretaku dan meninggalkan hospital tanpa sedikitpun menoleh ke arah Aqil. Padaku, mungkin lebih baik begitu, hatiku masih sakit, masih pedih dengan apa yang berlaku. Kadang-kala hatiku berbicara sendiri, betulkah aku ini tunangnya? Benarkah ruang di hatinya itu adalah untukku? Rasanya itu cuma angan-anganku. Mungkin semuanya harus aku selesaikan segera. Aku mahukan kepastian, siapa aku dihatinya?
AKU MEMATIKAN talian sebaik sahaja selesai berbual dengan ibu Aqil, sekadar bertanya khabar. Aku tahu alasan yang aku berikan untuk segera keluar dari bilik wad itu semalam sedikit pun tiada logiknya, namun apa lagi yang harusku nyatakan bagi menafikan tanggapan kedua orang tua Aqil bahawa aku meninggalkan mereka tanpa sebarang kata gara-gara kehadiran Shafiza. Bagi lebih meyakinkan mereka, aku turut berjanji akan datang melawat ayah Aqil selepas waktu kerja hari ini. Kini aku terikat dengan janji yang aku buat sendiri. Aku akan menunaikan janjiku itu, namun aku berharap aku tidak akan bertemu dengan Aqil nanti. Aku perlukan lebih kekuatan untuk bertemu dengannya dan aku belum bersedia untuk itu.
Selesai sahaja tugasku, aku terus memandu menuju ke hospital. Hujan yang tadinya renyai, kini bertambah lebat. Aku melilau mencari tempat meletakkan kenderaan. Dalam keadaan begini aku yakin tentu sukar untukku mendapatkan tempat meletakkan kenderaan. Hampir lima belas minit berpusing di kawasan hospital, akhirnya ada juga ruang untuk keretaku. Sebaik sahaja mematikan enjin kereta, aku cuba mencapai payung pada tempat duduk belakang, namun payungku tiada di situ. Aku mula mengeluh, terlupa yang aku telahpun meminjamkannya pada Hadif.
“Macam mana nak turun ni?” Aku mula berbicara sendiri. Hujan sedikitpun tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti, langit pula semakin gelap. Aku mati akal, mahu ataupun tidak aku terpaksa menunggu di dalam kereta sehingga hujan reda.
Aku melihat jam di tangan, hampir pukul tujuh malam. Hujan masih lagi lebat, sesekali kedengaran guruh berdentum kuat. Tidak mahu terus menunggu aku akhirnya berkeputusan untuk turun dan masuk ke hospital. Berpayungkan tapak tangan, aku dengan pantas turun dari kereta dan berlari-lari anak akibatnya habis bajuku kebasahan. Walaupun begitu, aku menarik nafas lega, sekurang-kurangnya kini, aku tidak lagi hanya duduk menunggu di dalam kenderaan.
Dalam keadaan yang basah kuyup itu, aku terus menaiki lif untuk bertemu dengan orang tua Aqil di bilik mereka seperti mana yang telah aku janjikan. Seorang lelaki yang kukira dalam lingkugan 40an mengeleng-gelengkan kepalanya sambil melihat ke arahku. Mungkin keadaanku yang kuyup ini menyebabkan lelaki itu menunjukkan reaksi yang sedemikian. Ada juga penumpang lain dalam lif itu bergerak sedikit menjauhiku, mungkin takut turut kebasahan. Aku pula hanya mampu tunduk sepanjang berada di dalam lif.
Keluar sahaja daripada lif, jantungku mula berdegup pantas. Aku berdoa mudah-mudahan Aqil tiada di situ. Namun jauh di sudut hati, aku berharap dapat bertemu dengannya walaupun sebenarnya hatiku masih sakit dengan apa yang berlaku semalam. Tetapi entah mengapa rasa rindu dan kasih pada Aqil mengatasi kemarahanku padanya.
Pintu bilik wad tidak bertutup rapat ketika aku sampai. Daripada luar dapat aku perhatikan mereka yang berada di dalam bilik wad itu seorang demi seorang melalui ruang pintu yang sedikit terbuka. Aqil! Jantungku makin pantas berdegup sebaik sahaja terpandang Aqil. Terubat juga rasa rindu pada lelaki itu. Aku menarik nafas panjang mengumpul kekuatan menolak pintu bilik wad itu untuk masuk.
“ Ibu dengan ayah ajelah yang tunggu. Aqil tak ada masa nak tunggu lama-lama. Banyak kerja lain lagi yang Aqil nak kena buat. Lagipun Aqil dah janji dengan Shafiza nak jemput dia.”
Dapat aku dengar dengan jelas kata-kata itu. Aku tahu itu suara Aqil. Niatku untuk menolak pintu dan masuk ke dalam tidak aku teruskan. Tombol pintu kulepaskan tanpa aku sedar. Aku tiba-tiba menjadi kaku di hadapan bilik wad itu. Aku tidak mahu percaya dengan apa yang telah aku dengar. Tidak, sedikit pun aku tidak mahu percaya, masakan Aqil sanggup berbuat begitu padaku.
“ Terpulanglah Aqil, nanti jangan nak salahkan ibu kata ibu tak bagi tahu,” suara ibu Aqil pula membalas kata-kata anaknya itu.
Aku masih berdiri di situ, seincipun tidak berganjak. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku berlalu pergi. Tapi entah kenapa langkah kakiku seolah-olah telah dipaku.
“ Aqil pergi dululah ayah, ibu…”
Derapan kaki Aqil semakin menghampiri pintu namun aku masih lagi berdiri di tempat yang sama seperti tadi. Akhirnya pintu bilik ditarik dan mata kami bertentangan.
“ Nysa, macam mana boleh basah kuyup ni?” Aqil terkejut melihatku, nyata dari nada suaranya jelas dia tidak senang dengan kehadiranku di situ pada tika ini. Lama aku merenungnya sebelum melemparkan senyuman palsu.
“ By the way, abang ada hal ni, jumpa nantilah ya. Erm… boleh tepi sikit?”
Rasanya Aqil sama sahaja dengan orang-orang di dalam lif tadi. Tidak bersimpatikah dia padaku? Namun, kuanjakkan juga sedikit langkahku memberi ruang untuk Aqil beredar. Dan tanpa menunggu sesaat pun lagi Aqil terus berlalu meninggalkanku. Begitu berat dugaanMu ini Ya’ Allah. Mengapa ini yang harus aku lalui, hati kecilku menangis.
“ Nysa sampai pun. Mari masuk.” Ibu Aqil yang sudah berada di hadapan pintu bilik memimpin tanganku masuk ke dalam bilik dan aku menuruti langkahnya.
“ Habis basah kuyup. Nysa, Nysa…” Kini giliran ayah Aqil pula bersuara setelah melihat keadaanku.
“ Aqil tu memang macam tu, semua benda nak cepat. Sampai nak tunggu tunang sendiri pun tak sempat. Nysa jangan ambil hati ye.” Ibu Aqil cuba memujuk. Mungkin dia terdengar perbualan aku dengan Aqil tadi.
“ Nysa faham.” Aku cuba mengukirkan senyuman sekali lagi. Hanya itu yang mampu aku lakukan untuk melindungi luka dihatiku.
KEPALAKU terasa berat, mungkin hujan lebat yang membasahi anggota tubuhku semalam adalah puncanya. Namun aku gagahkan juga bersiap untuk ke tempat kerja. Pagi itu aku bersiap dengan pantas sekali. Baju kurung berwarna hijau muda aku keluarkan daripada almari pakaian. Sedikitpun bedak tidak menyentuh kulit mukaku apatah lagi pelembab bibir. Kepala yang semakin memberat tidak mengizinkan aku berias seperti selalu. Seketika aku mengenakan jam tangan sambil menjeling pada jarum jam itu, hampir pukul tujuh pagi. Segera aku bergerak untuk keluar daripada rumah, tidak mahu merempuh kesesakan lalulintas yang jarangnya mahu tenang.
Sebaik saja tiba, aku segera meletakkan kereta pada tempat letak kereta yang disediakan untuk kakitangan. Enjin kereta aku matikan, bersyukur kerana telah selamat tiba. Aku memejamkan mata buat seketika, sakit kepala masih terasa dan kali ini denyutannya bertambah kuat umpama tidak mahu henti kesakitannya. Aku mengurut perlahan kepalaku, berharap kelegaan akan segera tiba. Namun semua itu tidak berlaku, saat demi saat sakitnya kian parah sehingga membuatkan aku tidak mampu untuk berdiri tegak dan keluar daripada keretaku. Lantas aku benamkan wajah pada stering keretaku bersama kesakitan yang mencengkam hebat.
Apabila cermin keretaku diketuk berkali-kali, aku segera mengangkat sedikit wajahku. Hadif! Kerutan pada wajah Hadif itu aku faham maksudnya. Pasti Hadif pelik melihatkan keadaanku dalam kereta itu. Berbekalkan kudrat yang tidak sekuat mana, aku mengarahkan kakiku untuk membawa aku keluar daripada keretaku itu. Senyuman kecil aku berikan kepada Hadif tatkala kakiku mula melangkah keluar, namun belum sempat pintu kereta kututup rapat, duniaku jadi gelap secara tiba-tiba!
MATA AKU buka perlahan dan ketika tersaji semuanya di hadapan mata, orang yang pertama yang dapat aku lihat ialah Hadif. Senyuman Hadif tidak lekang daripada bibirnya. Aku mengalihkan pula pandangan pada ruangan sekelilingku dan rasanya aku tahu dimana aku berada pada saat itu. Dimana lagi kalau bukan di hospital! Bau ubat-ubatan yang dengan segera meresap masuk ke dalam rongga hidung benar-benar merimaskan aku. Aku cuba bangun daripada pembaringan, namun kepalaku masih lagi sakit walaupun tidak sehebat rasa sakit yang aku tanggung tadi. Tidak larat pula membawa diriku duduk di atas katil itu. Aku cuba untuk bangun buat kali yang kedua dan pada kali ini Hadif memberikan bantuan kepadaku. Dia meletakkan bantal bersarung putih bersih itu pada kepala katil untuk aku bersandar, lantas dengan penuh berhati-hati Hadif membetulkan dudukku.
“Terima kasih Hadif. Mujur kau ada, kalau tidak tak tahulah aku apa dah jadi pada aku sekarang,” ucapan itu ikhlas kau tujukan kepada Hadif kerana aku yakin bahawa Hadif adalah orangnya yang telah membawa aku ke rumah sakit ini.
“Hal kecil aje pun. Kau dah okey ke ni?” soal Hanif sambil mengangkatkan sedikit keningnya.
“Alhamdulillah, okey sikit dah.” Balasku perlahan.
“Oh, ya. Aku dah call parent kau, sekejap lagi dia orang sampailah tu kut!” Sambung Hadif, tidak mahu mematikan perbualan antara kami.
“Terima kasih Hadif. Menyusahkan kau ajekan? Sorrylah ya!” semoga saja Hadif dapat membaca sinar mataku yang benar-benar berterima kasih atas tindakannya itu. Rasa terhutang budi dengan Hadif. Dalam keadaan-keadaan terdesak, selalunya dialah yang menjadi penyelamatku. Entah bagaimana caranya mahu membalas budi baiknya itu.
“Kau nikan Nysa, dari awal kita kenal sampai sekarang, tak habis-habis ucap terima kasih kat aku. Kau tak penat ke?” Hadif tersenyum di hujung katanya.
“Habis tu, kalau bukan terima kasih, kau nak suruh aku cakap apa kat kau?” soalku kembali kerana sememangnya ucapan terima kasih itu layak untuknya.
“Sekali-sekala kau ucaplah thank you ke! Hah, kan lain sikit bunyinya tu. Tak adalah telinga aku ni bosan mendengarnya.” Hadif ketawa dengan seloroh yang diciptanya itu.
Mendengar kata-kata Hadif, aku jadi tertawa riang. Sempat juga aku memukul Hadif perlahan dengan menggunakan majalah yang ada disisi katil bila terasa dipermainkan. Hadif mengadu kesakitan. Kemudiannya, kami berdua ketawa lagi. Sebagai seorang kawan, Hadif selalu saja menimbulkan rasa senang dihatiku. Alangkah bagusnya jika Aqil juga berkelakuan seperti Hadif, sentiasa memahami dan menanam benih ceria dihariku.
Aku menundukkan wajah apabila terkenangkan Aqil. Mengapa sedikitpun aku tidak dapat membaca hatinya? Terlalu sukar untukku menghampirinya apatah lagi mendekatinya. Walaupun ikatan yang ada sepatutnya menjadikan aku dan Aqil semakin hampir, namun entah mengapa setiap kali bertemu dengan Aqil aku hanya terasa ruang yang semakin melebar dari hari ke hari. Jarak yang seakan dicipta oleh Aqil sendiri. Itulah yang membuatkan aku bertambah tidak mengerti.
“Kenapa ni Nysa? Kau ada masalah ke?” Seperti selalu, Hadif mengajukan soalan yang sama setiap kali aku menunjukkan reaksi wajah sebegitu.
“Tak ada apalah Hadif. Hah, aku dengar cerita kau nak cuti dua hari, kau nak pergi mana?” segera aku mengubah topik perbualan, tidak mahu Hanif terus-menerus meneka hatiku.
“Balik kampung,” ringkas jawapan yang diberikan Hadif.
“Balik kampung? Hai, dah tak sempat nak tunggu hujung minggu ke?” Soalku kehairanan atas pengakuan Hadif. Pelik, selalunya Hadif hanya akan pulang ke kampung pada hujung minggu. Sejak aku mengenali Hadif, tidak pernah sekalipun Hadif mengambil cuti pada hari bekerja semata-mata untuk pulang ke kampung jika tiada hal penting. Aku bukan seorang tukang ramal dan aku juga tidak mempunyai kelebihan untuk membaca fikiran atau hati orang lain tapi aku cukup kenal dengan perangai Hadif, dia selalu mengutamakan para pelajarnya, jadi mana mungkin dia mengambil cuti tanpa sebarang agenda.
“Sorrylah Nysa, tak sempat nak bagi tahu kau. Sebenarnya aku bertunang hujung minggu ni.” Hadif memandang ke arah lain, seolah-olah mahu menyembunyikan pandangannya dariku.
“Bertunang?” aku tersentak dengan perkhabaran yang dibawa oleh Hadif itu. Benar-benar terkejut. Lama aku memandang Hadif yang masih tidak mahu menunjukkan wajahnya. Musykil, tiada angin, tiada ribut tiba-tiba saja aku diberitakan dengan berita pertunangannya.
“Ha’ah, pilihan mak aku. Kau kan tahu aku ni anak yang soleh, jadi sebagai anak yang baik, aku kenalah ikut kehendak mak aku,” getus Hadif bersama senyuman nipis dibibirnya.
“Tahniah!” segera aku mengucapkan itu pada Hadif.
“Aik, takkan tahniah aje? Bagilah apa-apa yang patut” Balas Hadif pula.
“Kau nak hadiah apa?”
“Aku nak satu aje daripada kau”
“Apa dia? Cakaplah!”
“Walau apapun terjadi, boleh tak kau jaga kesihatan kau? Itu aje yang aku nak daripada kau. Aku risaulah tengok kau macam ni!”
Kata-kata Hadif membuatkan aku tertunduk lesu. Mengapa dia begitu risau dengan keadaanku sedangkan Aqil langsung tidak mempunyai rasa itu?
“Assalamualaikum!”
Aku mengangkat wajah, melihat gerangan yang menghulurkan salam. Aqil! Jantungku seakan disentap ketika melihat Aqil muncul di depan mata saat-saat hati dan fikiran memikirkan tentang dirinya. Anak matanya yang tajam merenungku itu dapat aku rasa bisanya. Dan aku entah kenapa pula tidak mahu mengalihkan pandanganku padanya.
“Aku balik dululah Nysa, nanti aku datang lagi.”
Suara Hadif akhirnya memutuskan tali pandanganku pada Aqil. Aku tersenyum pada Hadif, senyuman ikhlas, bukannya senyuman yang sengaja aku buat-buat semata-mata mahu melahirkan rasa cemburu dalam diri Aqil.
“Nanti kalau ada apa-apa contact aku. Jaga diri baik-baik tau, aku tak ada kat sini nak jaga kau.” Senyum Hadif melirik pada hujung pangkal katanya.
“Yelah, nanti kalau ada apa-apa hal aku contact kau. Thanks Hadif, Elok-elok memandu.” balasku tanpa menghiraukan Aqil.
“Thanks sebab call maklumkan pasal keadaan Nysa. By the way awak tak payah risau apa-apa, Nysa tunang saya dan saya tahu macam mana nak jaga dia.”
Sebelum berlalu Hadif yang terlebih dahulu menghulurkan tangan barulah Aqil menyambut tangan itu dengan ucapan yang pastinya dapat membuatkan telinga Hadif panas. Namun Hadif hanya tersenyum dan memaparkan riak tenang seolah-olah tembakan Aqil tidak langsung terkena padanya.
Aku enggan memandang wajah Aqil walaupun Hadif sudah berlalu. Mungkin hati masih marah padanya atas perkara yang lalu. Aqil mengambil tempat duduk, menggantikan Hadif. Kemudian aku terdengar keluhan kecil keluar daripada mulutnya.
“Tak payah susahkan Hadif lagi. Kalau ada apa-apa hal lepas ni terus call abang aje.” Aqil menjarakkan kerusi yang didudukinya itu dengan katil.
“Kalau Nysa call pun, abang Aqil bukannya ada masa nak jawab panggilan Nysa. Abang Aqil kan sibuk.” aku membalas, biar Aqil tahu kenyataannya. Aku tahu, yang sebenarnya aku masih marah pada Aqil dengan apa yang berlaku selama ini. Hatiku sendiri mampu menilai kedudukan aku di sisinya. Pasti tidak sepenting mana.
“Jadi Nysa marahkan abanglah ni?”
“Abang Aqil rasa Nysa marahkan abang Aqil ke?
“Habis, kalau muka abang pun Nysa tak sudi nak pandang, kalau bukan marah apa lagi?” Aqil memeluk tubuhnya.
“Okey, abang tahu Nysa marahkan abang pasal abang tak hiraukan Nysa tempoh hari dan Nysa marahkan abang pasal Shafiza. Abang tahu semua tu! Tapi Nysa cuma fikir pasal marah Nysa ajekan? Habis Nysa ingat abang tak tahu nak marah bila tengok Nysa dengan Hadif?” Aqil mempersoalkan tentang Hadif dengan tiba-tiba.
Aku terus memandang Aqil tepat, mengapa tiba-tiba sahaja dia mempersoalkan tentang Hadif? Mengapa dia mahu mengaitkan aku dengan Hadif?
“Apa masalah abang Aqil dengan Hadif? Kenapa abang Aqil mesti kaitkan Nysa dengan Hadif? Apa masalah abang Aqil dengan Hadif?” aku luahkan apa yang aku rasa. Hadif tidak seharusnya dipersalahkan.
“Jadi, apa pula masalah Nysa dengan Shafiza? Kenapa Nysa mesti marah bila nampak abang dengan Shafiza?” Aqil masih terus mempertahankan tindakkannya.
Hatiku mula hiba, terasa seperti ada air mata yang mahu gugur tapi aku tahankan juga. Tenyata Aqil sengaja mahu mencari salahku.
“Nysa tak ada apa-apa masalah dengan Shafiza. Betul, memang Nysa kecil hati bila abang Aqil lebih mengutamakan Shafiza daripada Nysa, sebab Nysa tunang abang Aqil! Tapi Nysa tak ada niatpun nak mempersoalkan pasal Shafiza sebab Nysa percaya pada abang Aqil,” aku berusaha menyatakan kebenarannya.
“Nysa minta maaf kalau hati abang Aqil tersinggung disebabkan Hadif. Untuk pengetahuan abang Aqil, Hadif cuma kawan biasa pada Nysa. Abang Aqil sendiri pun tahukan besar mana rasa cinta Nysa pada abang Aqil? Hadif akan bertunang hujung minggu ni, jadi tak perlulah abang Aqil nak kaitkan Nysa dengan Hadif lagi lepas ni.” Mendengar kata-kataku itu, Aqil mendiamkan diri. Biarlah dia tahu bahawa pada ketika ini dia sedang mencurigai hati seorang tunang yang langsung tidak pernah terlintas untuk menduakan dirinya walaupun untuk sesaat.
“Seperkara lagi, Nysa rasa abang Aqil kena fikirkan balik pasal hubungan kita. Kalau abang Aqil rasa Shafiza lebih berhak ada di sisi abang Aqil, Nysa takkan jadi penghalang.” Lega hatiku apabila sudah aku jelaskan semuanya. Aku tidak meminta Aqil untuk memahami hatiku, apa yang aku mahu hanyalah Aqil menaruhkan sedikit kepercayaannya buatku.
“Abang takkan mungkir janji. Nysa tetap tunang abang. Mungkin abang salah faham pasal Hadif, tapi tu tak bermakna Nysa tak bersalah. Nysa tetap bersalah sebab Nysa keluar berdua dengan Hadif tanpa pengetahuan abang. Jadi Nysa kena tunaikan permintaan abang.”
“Abang Aqil tetap nak salahkan Nysa jugakan?”
“Memang salah Nysa. Mulai hari ini Nysa tak boleh pakai baju warna ungu tanpa kebenaran abang.”
“Abang Aqil…”
“No objection! Ini permintaan abang dan sebagai orang yang bersalah, Nysa kena penuhi permintaan abang macam yang kita janjikan sebelum ni.” kata Aqil tegas.
Permintaan Aqil itu walaupun agak pelik tapi sedikit sebanyak menimbulkan rasa senang dalam hatiku. Kembali ada rasa bahagia dalam hati. Kesakitan tidak lagi aku rasai saat ini, mungkin sudah sembuh sepenuhnya dengan adanya Aqil. Rasanya aku akan dibenarkan keluar daripada hospital tidak lama lagi.
Bersambung....
No comments:
Post a Comment